Datuk Zamzuri bercakap kepada media selepas Majlis Peluncuran Piawaian Perakaunan Islam Bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW) dan Perasmian Persidangan Perdana PPIBZW 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Piawaian perakaunan bagi zakat, wakaf dan baitulmal yang dibangunkan secara seragam akan dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara mulai tahun depan.

Piawaian pertama seumpamanya di dunia itu dibangunkan bagi menyeragamkan kaedah perakauan dan pelaporan kutipan serta pengurusan zakat, wakaf dan baitumal yang lebih telus dan mudah untuk dibandingkan antara negeri.

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Zamzuri Abdul Aziz berkata, sebelum ini institusi agama negeri menggunakan piawaian perakaunan konvensional yang mempunyai istilah dan kaedah tertentu yang sukar disesuaikan dengan keperluan hukum syariah.

“Dengan pembangunan piawaian ini, kita boleh memperakaunkan kutipan dan pengurusan zakat, wakaf serta baitulmal dengan lebih telus dan seragam.

“Ia juga memudahkan akauntan dan pengurus jabatan agama membuat pelaporan secara lebih telus dan seragam,” katanya yang mewakili Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia (KSP),
Tan Sri Johan Mahmood Merican
.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Peluncuran Piawaian Perakaunan Islam Bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW) dan Perasmian Persidangan Perdana PPIBZW 2026 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Akauntan Negara, Nasran Omar.

Mengulas lanjut Zamzuri berkata, keseragaman pelaporan itu penting bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi kewangan sosial Islam khususnya dalam kalangan pembayar zakat, pewakaf serta penyumbang kepada baitulmal.

Katanya, masyarakat dapat melihat dengan lebih jelas bagaimana aset dan kutipan yang diamanahkan kepada institusi berkenaan diurus serta digunakan untuk pembangunan masyarakat.

“Apabila pelaporan standardnya sama, perbandingan antara negeri juga boleh dibuat secara lebih tepat atau ‘apple to apple’.

“Sebelum ini, piawaian yang digunakan negeri-negeri mempunyai sedikit perbezaan dan apabila kita mahu mencari ruang untuk penambahbaikan, ia agak sukar kerana amalan pelaporan dan nisbah yang digunakan tidak seragam,” ujarnya.

Menurut beliau, piawaian baharu itu turut memudahkan proses audit, termasuk oleh Jabatan Akauntan Negara, selain membantu mengecilkan jurang perbezaan pelaporan antara negeri.

Zamzuri berkata, pembangunan piawaian itu turut menjadi bukti kejayaan kerjasama antara pihak berkuasa agama negeri dan Persekutuan apabila semua negeri bersetuju untuk mengamalkannya.

“Apabila kita mempunyai pelaporan yang seragam, kita boleh kenal pasti negeri mana yang mempunyai kelemahan dan negeri mana yang mempunyai amalan terbaik.

“Daripada situ, kita boleh berkongsi amalan pengurusan supaya pengurusan zakat, wakaf dan baitulmal terus progresif,” jelasnya.

Beliau berkata, pembangunan piawaian berkenaan telah dimulakan sejak tahun lalu dan pelaksanaannya dibuat secara berfasa dengan setiap negeri mula menggunakannya selepas sesuatu fasa piawaian disiapkan.

“Apabila fasa pertama siap, negeri-negeri sudah mula menggunakannya dan apabila piawaian kedua siap, negeri turut mula menggunakannya.

“Keseluruhan piawaian ini akan mula digunakan sepenuhnya pada tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu, Zamzuri berkata, keseragaman tersebut dijangka bukan sahaja meningkatkan produktiviti dalam proses kutipan, malah membantu memperkemas pengurusan perbelanjaan dana zakat, wakaf dan baitulmal.

Katanya, ketelusan dalam pelaporan akan membolehkan masyarakat melihat dengan lebih jelas bagaimana kutipan diurus dan seterusnya berpotensi meningkatkan keyakinan untuk terus menyumbang.

“Kita harap dengan adanya standard ini, ia akan memproduktifkan bukan sekadar proses kutipan tetapi juga proses bagaimana kita membelanjakan dana tersebut.

“Apabila rakyat dapat melihatnya secara telus dan boleh membuat perbandingan, insya-Allah kutipan akan semakin subur kerana lebih ramai orang akan yakin untuk menyumbang,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here