Gambar lokasi kemalangan di Jalan Kemaman-Kuantan, Kampung Seberang Balok, Kuantan malam tadi. - Sumber orang awam

KUANTAN – Seorang remaja berusia 15 tahun meninggal dunia selepas motosikal dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kuantan-Kemaman, Kampung Seberang Balok, di sini, malam tadi.

Mangsa, Putera Awal Darwish Mohd Zulhafiz dilaporkan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat kemalangan itu dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.30 malam tadi.

“Hasil siasatan awal mendapati, ketika kejadian, kereta dipandu seorang Pegawai Waran Tentera Laut itu datang dari arah Beserah menghala ke arah Pelabuhan Kuantan, manakala motosikal dinaiki mangsa dari arah bertentangan.

“Semasa pemandu kereta itu sedang membelok ke kanan, tiba-tiba motosikal dinaiki mangsa melanggarnya dari arah bertentangan di bahagian kiri kereta itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ekoran rempuhan itu, mangsa dikatakan tercampak di atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi terbabit.

Ashari berkata, pemandu kereta berusia 42 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan untuk dirakam keterangannya.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan bagi proses bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian,” katanya lagi.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan menyeru mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here