Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Perikanan Malaysia melalui Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang merekodkan pendaratan keempat Penyu Belimbing (Dermochelys coriacea) di Terengganu hari ini, dengan 70 biji telur berjaya diselamatkan.

Ini menjadikan keseluruhan 265 biji telur daripada empat sarang berjaya dipindahkan untuk tujuan perlindungan dan pengeraman sejak 1 September lalu.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, empat pendaratan yang direkodkan dalam tempoh sebulan itu menunjukkan masih terdapat Penyu Belimbing yang kembali mendarat di pesisir Terengganu, sekali gus memerlukan usaha pemantauan dan pengurusan sarang yang berterusan.

“Empat pendaratan yang direkodkan sepanjang September hingga awal Oktober ini merupakan perkembangan yang bermakna dalam usaha pemuliharaan Penyu Belimbing di Terengganu.

“Yang penting, telur yang berjaya diselamatkan kini berada dalam pengurusan yang terkawal bagi memberikan peluang kelangsungan hidup yang lebih baik.

“Namun, pemuliharaan tidak hanya bergantung kepada pengurusan sarang. Perlindungan kawasan pendaratan, pemantauan berterusan dan kerjasama masyarakat, khususnya komuniti setempat serta nelayan, amat penting bagi memastikan spesies ini terus mempunyai peluang untuk kembali mendarat dan membiak di perairan kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pendaratan pertama direkodkan pada 1 September di Pantai Pasir Putih, Marang, dengan 44 biji telur, diikuti pendaratan kedua pada 13 September di Pantai Rantau Abang yang menghasilkan 81 biji telur.

Dalam kedua-dua kejadian itu, penyu induk tidak ditemui ketika pemeriksaan dijalankan.

Pendaratan ketiga pula direkodkan pada 22 September di Pantai Kuala Abang, dengan 70 biji telur.

Penyu induk berjaya ditemui dan diukur oleh pegawai pemuliharaan, dengan panjang karapas 215 sentimeter dan lebar karapas 115 sentimeter.

Terbaharu, pendaratan keempat berlaku di Pantai Jambu Bongkok pada awal pagi ini selepas penyu berkenaan ditemui oleh seorang nelayan kira-kira jam 4 pagi.

Maklumat penemuan diterima TCIC Rantau Abang pada kira-kira jam 5.30 pagi sebelum kerja menggali sarang dijalankan pada jam 6 pagi.

Sebanyak 70 biji telur berjaya dikeluarkan dan dipindahkan ke tapak pengeraman TCIC Rantau Abang, manakala pemeriksaan di lokasi merekodkan kelebaran jejak penyu kira-kira 2.17 meter. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here