Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berucap pada Majlis Sambutan Hari Inovasi KPKT Tahun 2026, di KPKT, di sini, hari ini.

PUTRAJAYA –  Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mahu budaya inovasi dijadikan amalan kerja berterusan dalam kalangan warganya, bukan sekadar tertumpu kepada pertandingan.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pembudayaan inovasi penting bagi meningkatkan kecekapan organisasi, keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta memberikan nilai tambah yang bermakna kepada rakyat.

“Saya mahu warga KPKT melihat inovasi bukan semata-mata sebagai suatu pertandingan, tetapi inovasi mesti menjadi sebahagian daripada cara kita berfikir, cara kita bekerja dan cara kita menyelesaikan masalah,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Sambutan Hari Inovasi KPKT Tahun 2026, di KPKT, di sini, hari ini.

Menurutnya, inovasi bukan sekadar mencipta sesuatu yang baharu, sebaliknya proses mencipta nilai melalui pemanfaatan idea, teknologi, data dan kreativiti bagi mempermudah urusan, mempercepatkan penyampaian, mengoptimumkan sumber serta menyelesaikan masalah rakyat dengan lebih tuntas.

Katanya, pemanfaatan pendigitalan dan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), analitik data, automasi dan Internet of Things (IoT) perlu terus diperkasa sebagai pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, responsif dan berorientasikan keperluan rakyat.

“Dalam konteks KPKT, ruang untuk berinovasi amat luas memandangkan kementerian menguruskan pelbagai bidang yang bersentuhan secara langsung dengan kehidupan rakyat, termasuk perumahan, kerajaan tempatan, kebersihan dan pengurusan sisa pepejal, kebombaan serta perancangan bandar.

“Setiap penambahbaikan yang kita lakukan mempunyai potensi untuk diterjemahkan secara langsung kepada kualiti hidup, keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Hari Inovasi KPKT Tahun 2026 menyaksikan sebanyak 54 penyertaan projek inovasi membabitkan 43 projek Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) serta 11 projek Anugerah Inovasi Menteri (AIM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here