Gambar hiasan mendulang emas

ROMPIN – Sembilan Orang Asli ditahan selepas disyaki melakukan aktiviti perlombongan emas tanpa kebenaran di kawasan Hutan Simpan Bukit Ibam, Keratong, di sini.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dalam kenyataannya memaklumkan, tindakan penguatkuasaan dilakukan Pejabat Hutan Daerah Rompin pada 28 September lepas susulan aduan awam mengenai kegiatan itu.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, terdapat aktiviti yang disyaki melibatkan kesalahan hutan dan kegiatan perlombongan.

“Pemeriksaan di lapangan menemukan beberapa lubang yang dipercayai digali bagi tujuan mendapatkan emas dengan kedalaman dianggarkan antara dua hingga tiga meter menggunakan peralatan seperti cangkul.

 “Pasukan penguatkuasaan turut menyita beberapa mesin yang telah diubah suai sebagai pam air dipercayai bagi membantu aktiviti berkenaan dan kuali,” katanya hari ini.

Difahamkan, operasi tersebut melibatkan pasukan daripada Renj Muadzam Shah, Renj Ibam dan Unit Tindakan Khas (UTK) yang menjalankan rondaan serta pemeriksaan di kawasan berkenaan.

Berikutan itu, JPNP berkata, sembilan individu terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita Orang Asli berusia lingkungan umur 29 tahun hingga 50 tahun yang disyaki terlibat telah ditahan untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Berdasarkan semakan penguatkuasa di lapangan, kawasan aktiviti perlombongan tanpa kebenaran ini membabitkan kawasan seluas anggaran 4.0 ekar (1.62 hektar).

“Dianggarkan kerugian kawasan yang diceroboh tersebut bernilai kira-kira RM24,300  dengan mengambil kira asas pemulihan kawasan hutan tersebut,” katanya lagi.

Sebagai langkah kawalan, JPNP memberitahu, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung penemuan dan tindakan yang dilaksanakan.

Katanya, notis sitaan dan pita penguatkuasaan telah dipasang di laluan masuk ke kawasan terbabit bagi menandakan kawasan tindakan penguatkuasaan.

“Kes ini disiasat dibawah Enakmen Perhutanan Negara (Negeri-negeri Malaysia) (Pemakaian) 1986 iaitu mengikut Seksyen 32 (1), Seksyen 47 (1), Seksyen 81 (1) (e) dan Seksyen 81 (1) (g),” katanya.

Tambah JPNP, Pejabat Hutan Daerah Rompin akan meneruskan pemantauan dan tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Orang ramai juga diseru supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti yang mencurigakan atau disyaki melibatkan kesalahan hutan di dalam Hutan Simpanan Kekal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here