SHAH ALAM – Seorang penghantar makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan memandu secara tidak cermat sehingga mengakibatkan kemalangan membabitkan seorang pelajar, baru-baru ini.
Muhammad Haziq Izzuddin Ruslan, 25, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Muhammad Syafiq Sulaiman.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki bujang itu didakwa sebagai penunggang motosikal jenis Yamaha, memandu kenderaan tersebut di atas jalan tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya terhadap orang lain yang menggunakan jalan berkenaan.
Kejadian itu menyebabkan kemalangan terhadap seorang pejalan kaki di Persiaran Saujana 4, Daerah Sungai Buloh, pada jam 12.08 tengah hari 28 September lalu.
Terdahulu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda antara RM5,000 dan RM10,000 serta penjara tidak lebih 12 bulan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Alia Anisa Khairus Masnan mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi memohon supaya anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana perlu menanggung ibu bapanya yang tidak bekerja.
“Dia tidak mempunyai pendapatan tetap, maka jumlah yang tinggi akan menyukarkan keluarga untuk mengumpul wang bagi ikat jamin.
“Selepas kejadian, dia tidak melarikan diri dan berada bersama mangsa di tepi jalan,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Muhammad Syafiq membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan supaya dia melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 12 November depan.
Isnin lalu, tular video memaparkan seorang pelajar dilanggar penunggang motosikal ketika melintas di lintasan berkenaan.
Akibat rempuhan, pelajar terbabit kelihatan berguling di atas jalan, sementara penunggang motosikal itu turut terjatuh dan motosikalnya terseret di atas jalan.-MalaysiaGazette
















