Ketua Wanita UMNO Bahagian Ledang, Datuk Fahariah Mat Nordin

KUALA LUMPUR –  Slogan  ‘Onn tak Onn’ kembali bergema apabila perwakilan Wanita UMNO Johor membangkitkan kejayaan Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri berkenaan.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Ledang, Datuk Fahariah Mat Nordin berkata, keputusan BN menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri membuktikan rakyat masih boleh kembali memberikan kepercayaan kepada UMNO apabila kerajaan benar-benar hadir menyelesaikan masalah mereka.

Katanya, kemenangan itu tidak datang dengan mudah sebaliknya hasil gerak kerja awal dan berterusan jentera Wanita UMNO Johor yang sudah digerakkan kira-kira dua tahun sebelum pilihan raya.

“Kita gerak awal. Kita turun, kita buat kerja dan kita pastikan rakyat rasa kehadiran kerajaan,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Wanita UMNO Malaysia sempena Perhimpunan Agong UMNO 2026 di sini hari ini.

Menurut Fahariah, antara pengajaran penting daripada Johor ialah politik perlu kembali kepada perkara yang dekat dengan kehidupan rakyat termasuk bantuan yang dapat dirasai secara terus dan kehadiran wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, pendekatan kerajaan Johor di bawah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang sentiasa prihatin dengan menekankan hasil negeri perlu kembali kepada rakyat turut membantu membina keyakinan pengundi.

Sebagai contoh, Bantuan Kasih Johor memberi manfaat kepada lebih 600,000 penerima daripada pelbagai kelompok, termasuk suri rumah tidak bekerja, ibu tunggal, pengawal keselamatan sekolah, pekerja pembersihan dan pemandu bas sekolah.

Jualan Kasih Johor pula menawarkan barangan asas seperti ayam, telur dan minyak masak pada harga serendah RM15, yang menurutnya memberi kesan terus kepada isi rumah khususnya kaum ibu yang mengurus perbelanjaan keluarga.

Fahariah berkata, kehadiran wakil rakyat ketika menyampaikan bantuan juga penting kerana rakyat bukan sahaja melihat jumlah bantuan, tetapi melihat sendiri siapa yang turun dan bersama mereka ketika berdepan kesukaran.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan UMNO supaya tidak menganggap kemenangan itu sebagai jaminan kekal kerana pengundi yang kembali memberikan kepercayaan hari ini juga boleh mengubah pendirian pada pilihan raya akan datang.

Dalam masa sama, Fahariah membangkitkan kebimbangan terhadap persepsi mengenai tindakan yang dilihat tidak konsisten atau terpilih, khususnya apabila melibatkan pemimpin UMNO dan BN.

Katanya, undang-undang perlu ditegakkan secara adil dan seseorang tidak seharusnya dihukum berdasarkan persepsi semata-mata kerana perkara itu boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap parti.

Beliau turut menyokong usaha memperkukuh kepimpinan wanita melalui sasaran minimum 30 peratus perwakilan dengan menegaskan, perjuangan Wanita UMNO kini bukan sekadar meminta peluang tetapi membina wanita supaya bersedia memimpin dan membuat keputusan.

Fahariah berkata, kemenangan Johor dan Negeri Sembilan perlu dijadikan pencetus untuk membina semula keyakinan rakyat di negeri lain, termasuk Melaka sebelum BN menghadapi PRU16.

“Daripada akar umbi kita bina kemenangan, daripada kemenangan kita bina keyakinan dan daripada keyakinan kita bina masa depan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here