MARAN – Seorang pesara di daerah ini kerugian RM81,465 diperdaya ‘kekasih dalam talian’ selepas menjalin hubungan cinta hanya dalam masa hampir dua bulan.
Menurut Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai, mangsa memaklumkan mula berkenalan dengan seorang wanita di laman media sosial pada 13 Jun lepas.
Beliau berkata, hasil perkenalan itu membawa kepada hubungan percintaan antara mangsa dan suspek di mana mangsa dikatakan mula menaruh kepercayaan terhadap suspek.
“Suspek dikatakan mula meminta bantuan kewangan atas pelbagai alasan seperti untuk membayar sewa bilik, membaiki kereta, membeli emas serta keperluan peribadi.
“Bermula 13 Jun sehingga 7 Ogos baru-baru ini, mangsa telah membuat transaksi pindahan wang ke enam akaun berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM81,465,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wong, mangsa juga telah pergi ke lokasi yang ditetapkan untuk bertemu wanita tersebut pada 10 Ogos baru-baru ini, namun dia tidak hadir dan memberikan pelbagai alasan.
Disebabkan itu, katanya, mangsa yang mula curiga menyedari dirinya diperdaya dan membuat laporan polis.
“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan suspek serta mengumpul keterangan berkaitan,” katanya lagi.
Sementara itu, Kim Wai menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak menyerahkan wang kepada individu yang baru dikenali dan belum pernah ditemui. – MalaysiaGazette
















