BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutus surat rasmi kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi memohon perhatian khusus terhadap isu pelaburan Felda di negara itu, khususnya membabitkan Eagle High Plantations (EHP).
Anwar berkata, langkah itu diambil susulan potensi kerugian besar kira-kira RM2.5 bilion yang terpaksa ditanggung Felda akibat keputusan pengurusan terdahulu, dengan pulangan yang dijangka diperoleh kini mungkin hanya sekitar RM200 juta.
“Pelaburan ini (EHP) yang tersangkut di Mahkamah di Indonesia. Saya telah menulis surat kepada Presiden Prabowo Subianto meminta beliau melihat juga masalah ini.
“Kemudian kalau tidak ditangani, RM2.5 bilion ini yang mungkin kita perolehi nanti RM200 juta. Ini satu contoh,” katanya ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Bersama Pengurusan Tertinggi dan Pengurus Felda, hari ini.
Menurut Anwar, wang berkenaan masih belum dapat diperoleh semula Felda kerana perkara itu masih dicabar pihak EHP di mahkamah Indonesia.
Beliau berkata, pendedahan mengenai skala masalah kewangan Felda itu penting supaya seluruh barisan pengurusan memahami cabaran besar yang perlu ditangani bagi memulihkan agensi berkenaan.
“Saya mahu pengurus tahu betapa beratnya untuk pulih. Pengurus Felda di Pahang, di Johor, apa kena-mengena? Tetapi ditanggung oleh kita, itu masalahnya.
“Jadi harus tahu bahawa masalah ini mesti dan wajib ditangani,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan tindakan kerajaan terhadap kelemahan pengurusan dan salah laku dalam institusi seperti Felda dan Lembaga Tabung Haji (TH) bukan disebabkan institusi berkenaan membawa jenama Melayu atau Islam.
Katanya, sebarang kepincangan perlu diperbetulkan tanpa menjadikannya isu kaum atau agama.
“Ada pula seorang pemimpin parti Islam kata asyik nak kena tindakan kepada badan-badan agensi Melayu dan Islam.
“Kalau kenal pasti masalah, kita akan ambil tindakan. Jangan jadikan ini sebagai permasalahan kaum atau agama,” katanya.
Anwar berkata, masyarakat Melayu dan Islam sepatutnya lebih tegas memastikan institusi yang membawa imej Islam diurus dengan baik, termasuk dari aspek pengurusan, akhlak dan nilai.
Beliau berkata, kerajaan telah mengambil langkah pemulihan terhadap Felda termasuk pembentangan Kertas Putih Felda serta penubuhan pasukan petugas khas dan jawatankuasa pemulihan bagi mengelakkan masalah sama berulang.
Dalam masa sama, Anwar memberi jaminan kerajaan komited mempercepatkan pelaksanaan projek kebajikan asas, termasuk pembaikan perumahan pengurus dan peneroka tanpa perlu menunggu Belanjawan tahun depan.
“Tujuannya nak menjamin peranan dan elak mudarat,” katanya.
Anwar turut menegaskan penekanan terhadap tatakelola, integriti dan kebertanggungjawaban bukan bertujuan mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya memastikan amanah rakyat diselamatkan dan Felda kembali menjadi institusi yang disegani.
“Bila ada masalah kena rasuah, tak bolehlah sebab ini badan Islam, jangan hebahkan kerana malu.
“Kita harus jadi contoh dan kalau sudah berlaku, bersihkan dan orang boleh terima,” katanya. – MalaysiaGazette
















