Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup hadir Majlis Penutupan Banding Trail Adventure 2026 (BTA 2026) dan penyampaian Pengiktirafan ASEAN dan Asia Records di Belum Rainforest Resort, Pulau Banding, Gerik. Foto HAFIZI SAID, 21 OGOS 2026.

GERIK – Masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan berkaitan sambutan Hari Kebangsaan 2026 pada 31 Ogos ini susulan isu jerebu rentas sempadan yang membelenggu negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kementerian sentiasa memantau keadaan kualiti udara dan perkembangan jerebu bagi memastikan keselamatan serta kesihatan orang ramai tidak terjejas.

“Kita akan merayakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September dan kita faham bahawa mungkin akan banyak aktiviti luar pada waktu itu.

“Sekarang masih ada 10 hari sebelum kejadian dan bagi kita mungkin masih agak awal untuk memberi ramalan yang lebih tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penutupan Banding Trail Adventure 2026 (BTA 2026) dan penyampaian Pengiktirafan ASEAN dan Asia Records di Belum Rainforest Resort, Pulau Banding, di sini.

Pada majlis berkenaan sebanyak 1,433 spesis biodiversiti berjaya dikenal pasti dalam tempoh empat hari penganjuran BTA 2026 bermula 18 hingga 21 ogos sekali gus membuktikan kepentingan Pulau Banding sebagai landskap biodiversiti Asia.

Arthur berkata, ramalam tepat boleh diberikan dalam tempoh empat kelima hari dan sekiranya bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak mengizinkan pihaknya akan membawa perkara berkenaan kepada jemaah menteri.

“Sekiranya keadaan ini merisaukan, saya akan membawakan hal ini kepada perhatian jemaah menteri untuk kita buat keputusan kemudian.

“Tetapi pada asasnya keutamaan adalah sentiasa untuk memastikan keselamatan dan juga kesihatan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia kini sedang beralih kepada fasa Super El Nino yang diramal boleh berlarutan sehingga pertengahan tahun hadapan.

Jelasnya, berdasarkan kemaskini laporan status kualiti udara dan cuaca berjerebu pagi Jumaat, sebanyak lapan stesen di Sarawak merekodkan bacaan tidak sihat.

Katanya, Stesen berkenaan adalah Sri Aman, Kuching, Samarahan, Sarikei, Sibu, Bintulu, Samalaju dan Kapit manakala Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian mencatatkan bacaan sangat tidak sihat.

Jelas Arthur lagi, kemerosotan kualiti udara di Sarawak dipengaruhi oleh jerebu rentas sempadan dan Jabatan Alam Sekitar akan terus mempergiat pemantauan serta rondaan di kawasan berisiko selain mengawal aktiviti pembakaran terbuka. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here