KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Kementerian Kewangan mendapat arahan `pihak atasan’ supaya hanya memproses permohonan syarikat yang disyorkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi pelaksanaan projek di bawah Program Janawibawa.
Datin Rosni Mohd. Yusoff, 54, berkata, arahan tersebut diberikan kepada Setiausaha Bahagian Perolehan, Kementerian Kewangan, Datuk Zamzuri Abdul Aziz iaitu ketuanya ketika itu yang kemudian dimaklumkan kepada beliau selaku timbalan.
Menurut saksi pendakwaan ke-25, selain itu, PMO turut mengarahkan kementerian menjalankan penilaian semula terhadap KCJ Engineering Sdn. Bhd. sebelum dilantik sebagai kontraktor bagi Projek Membina Jalan Baharu Menyambung Felda Bukit Jalor ke Gemas, Negeri Sembilan.
Pada perbicaraan lalu, Rosni yang ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penilaian Kontraktor Program Janawibawa berkata, syarikat itu lulus dua penilaian, namun `sangkut’ di peringkat ketiga kerana mempunyai projek `sakit’ dan prestasi kerja semasa yang tidak memuaskan.
Pada sesi pemeriksaan semula, Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat bertanya sama ada KCJ Engineering pada asalnya layak atau tidak melepasi peringkat awal penilaian.
Rosni menjelaskan, Bahagian Perolehan mendapat maklumat tambahan daripada PMO berhubung prestasi KCJ Engineering dan seterusnya mengadakan mesyuarat bagi menilai semula kemampuannya.
Ujar saksi, keputusan mesyuarat yang bersidang pada 26 Februari 2021 kemudian mendapati KCJ Engineering lulus semua kriteria yang dikehendaki dalam ketiga-tiga penilaian.
“Disebabkan maklumat tambahan itu, kami (Bahagian Perolehan) angkat memo kepada Kementerian Kewangan, syarikat itu disyorkan sebagai kontraktor projek berkenaan menerusi rundingan terus.
“Sewaktu keputusan dibuat, memang tiada campur tangan daripada PMO, sebaliknya arahan yang kita dapat adalah untuk menilai syarikat-syarikat-syarikat yang dicadangkan pejabat itu,” ujarnya.
Pendakwa: Jadi arahan adalah daripada PMO melalui Menteri Kewangan dan akhirnya turun kepada Bahagian Perolehan dan kemudiannya kepada jawatankuasa?
Saksi: Betul.
Pendakwa: Jadi dia takkan datang dengan tiba-tiba kan Datin?
Saksi: Ya, betul.
Sementara itu pada sesi pemeriksaan balas, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad turut mencadangkan bahawa saksi sebenarnya tidak mendapat arahan berdokumen daripada Perdana Menteri untuk membuat penilaian supaya projek diberikan secara rundingan terus.
Peguam: Hingga kini kamu masih tak tunjuk dokumen asal yang tunjukkan arahan dari PM.
Saks: Saya dapat arahan, kalau tiada arahan, bagaimana saya hendak buat penilaian.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung Rabu depan.
Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta.
Ia berkaitan Projek Janawibawa melibatkan empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette
















