Datuk Seri Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Sebarang formula kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu memastikan manfaat yang diperoleh lebih besar daripada mudarat, kata Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menjelaskan, pendekatan kerjasama yang digunakan di Johor dan Negeri Sembilan tidak semestinya boleh diguna pakai di Melaka kerana setiap negeri mempunyai keadaan geopolitik dan landskap politik berbeza.

“Saya telah memberikan mandat kepada Ketua Menteri Melaka selaku Pengerusi Barisan Nasional dan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka untuk mengadakan rundingan.

“Selanjutnya hasil perundingan itu dibawa ke peringkat nasional untuk kita perhalusi dan kita muktamadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Program Amal PDRM dengan kerjasama Ipoh Superbike Club sempena sambutan Hari Polis ke-219 dan Ambang Merdeka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK) petang ini.

Ahmad Zahid berkata, tiada satu formula atau acuan sama yang boleh digunakan dalam menentukan bentuk kerjasama politik bagi setiap negeri.

“Pada hemat saya, tidak ada satu formula yang sama dengan acuan yang sama kerana Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini juga mempunyai formula yang berbeza.

“Tentunya Melaka memerlukan formula yang sesuai dengan geopolitik di Negeri Melaka,” ujarnya.

Menurutnya, sebarang rundingan dengan mana-mana parti atau gabungan perlu dilakukan secara jujur dan ikhlas selain menghormati persetujuan yang telah dicapai.

“Kita harus melihat kemanfaatan yang lebih daripada mudarat. Sebarang perundingan yang akan dilakukan dengan mana-mana pihak atau mana-mana gabungan, ia mesti melihat aspek-aspek itu.

“Kita harus jujur, harus ikhlas dan harus memegang janji yang kita sebut, bukan melakukan perkara yang sebaliknya apabila sebarang perjanjian itu telah dipersetujui bersama,” tegas beliau.

Ditanya mengenai kelangsungan kerjasama Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Johor serta Negeri Sembilan selepas pembentukan kerajaan negeri, Ahmad Zahid berkata kerjasama berkenaan kekal berjalan lancar.

Beliau berkata, kerjasama di peringkat nasional turut diterjemahkan melalui mesyuarat Kabinet dan penyelarasan antara kementerian bagi memastikan pentadbiran kerajaan terus berfungsi demi kepentingan negara.

“Di peringkat nasional, ya, kerjasama itu bukan hanya terpancar dalam setiap mesyuarat Kabinet, di kalangan kerjasama antara kementerian-kementerian, kita juga telah lakukan koordinasi.

“Pendekatan kerajaan secara menyeluruh dilakukan untuk menyelesaikan (masalah) demi kepentingan negara, demi kepentingan kestabilan politik di negara kita,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, semua pihak perlu terus mengutamakan kerjasama antara pelbagai parti dan gabungan politik bagi memastikan kestabilan politik di peringkat nasional dapat dikekalkan.

“Saya harapkan semua pihak terus menggarisbawahi matlamat untuk mewujudkan kerjasama di antara pelbagai parti dan pelbagai gabungan parti politik bagi menentukan bahawa kestabilan politik di peringkat nasional itu akan dapat terus diterjemahkan,” katanya.

PRN Melaka dijangka menjadi antara tumpuan politik utama selepas PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Setakat ini, tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka belum ditetapkan, manakala penggal DUN semasa dijadual berakhir pada Disember 2026.

Perkembangan rundingan antara parti dijangka menjadi perhatian kerana bentuk kerjasama yang diputuskan bakal menentukan strategi BN dan rakan politiknya dalam menghadapi PRN berkenaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here