Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan / Operasi) Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim bercakap dalam sidang media di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 10 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes pemerasan di sebuah kilang sisa elektronik (e-waste) Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Gerakan / Operasi) Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kesemua tangkapan merupakan petugas daripada Batalian 2, PGA, Kulim, Kedah.

“Berkaitan tangkapan ini, kita sahkan ada tapi dalam proses siasatan lagi untuk pengesahan. Pegawai penyiasat dari polis negeri akan mengambil tindakan lanjut.

“Kesemua tangkapan berusia 30-an hingga 40-an terdiri dengan pangkat tertinggi Inspektor dan paling rendah Konstabel,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah JKDNKA, Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Mohamad Suzin Mohamad Rodhi dan Komander Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar.

Bagaimanapun beliau tidak memperincikan peranan setiap anggota yang ditahan atau jumlah pemerasan yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.

“PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terbabit dengan sebarang jenayah, tindakan tegas akan diambil dan tiada pilih kasih,” tegasnya.

Terdahulu, seorang pegawai kanan dan sembilan anggota Batalion 2 PGA direman sehari bagi membantu siasatan disyaki terlibat kes pemerasan ketika pemeriksaan, serbuan dan rampasan di sebuah kilang di Tasek Gelugor.

Kesemua suspek ditahan pada 19 Ogos lalu dan direman sehari, namun telah diberikan jaminan polis semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here