Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A Sivanesan pada sidang media Majlis Perasmian Kempen Kesihatan Warga Emas di Klinik Kesihatan Buntong, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 OGOS 2026

IPOH – Pengusaha sebuah ladang penternakan babi di Kampung Perlop 1, Sungai Siput didapati menjalankan kerja-kerja perataan tanah yang didakwa bertujuan untuk melebarkan kawasan ladang, meskipun Kebenaran Merancang (KM) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) masih belum diluluskan.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, Datuk A Sivanesan berkata, proses kelulusan KM bagi menukar ladang penternakan konvensional itu kepada ladang penternakan moden dan tertutup (MPF) sedang berjalan.

Menurutnya, pengusaha sepatutnya tidak menjalankan sebarang kerja pembinaan di atas tanah berkenaan selagi kelulusan KM daripada PBT yang dipertanggungjawabkan mengeluarkannya belum diperoleh.

“Kita sudah minta PBT serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) untuk mengambil tindakan walapun ladang itu dalam proses ditukar kepada MPF.

“​Pihak ladang memang sudah mohon (KM) dan dalam proses (kelulusan) namun sebenarnya mereka masih tak boleh buat pembinaan selagi belum dapat kebenaran,“ katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Komuniti ke Arah Penuaan Sihat dan Bermaruah ‘Golden Years, Greater Lives’ di Klinik Kesihatan Buntong, di sini hari ini.

Hadir sama, Perunding Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Buntong, Dr A Subashini dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, M Thulsi.

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu yang ditimbulkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Siput, Ariff Zaky Zolkafly menerusi hantaran di Facebook berhubung persoalan sama ada projek peluasan kandang babi itu mempunyai kelulusan, khususnya KM daripada PBT, susulan aduan penduduk kampung berhampiran mengenai gangguan lalat.

Dalam perkembangan berkaitan, Sivanesan memaklukan dua pegawai teknikal dari Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) Kuala Kangsar dan tiga pegawai penguat kuasa dari Taiping hadir ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

Katanya, siasatan awal dilakukan menerusi lawatan terus ke tapak pembinaan susulan isu berkenaan yang tular di media sosial.

“Hasil pemeriksaan mendapati kerja pembinaan itu melibatkan lima kolam takungan najis. Siasatan kemudian difokuskan kepada aspek pengurusan sisa kumbahan najis serta isu infestasi lalat di premis berkenaan.

“Pemeriksaan terhadap sisa kumbahan mendapati empat kolam takungan najis lama masih beroperasi manakala pemeriksaan di kolam terakhir pula mendapati terdapat aliran air keluar melalui paip yang disalurkan terus ke anak sungai.

“Sampel air bagi tujuan analisis Biochemical Oxygen Demand (BOD) turut diambil sebelum dihantar ke makmal di Bukit Tengah, Pulau Pinang untuk analisis lanjut,“ ujarnya.

Tambahnya, siasatan seterusnya dijalankan bagi menilai tahap infestasi lalat di ladang berkenaan melibatkan lima lokasi atau sampel ditetapkan dan diperiksa di kawasan kandang serta persekitaran ladang bagi menentukan kehadiran dan indeks infestasi lalat.

“Penerangan turut diberikan kepada pemilik ladang berhubung tujuan dan jenis sampel yang diambil sebelum satu laporan polis dibuat di Balai Polis Jalong sebagai laporan perlindungan (cover report) bagi pihak jabatan,“ jelasnya.

Sementara itu, Sivnanesan berkata, kerajaan Perak mengunjurkan mampu mengutip sehingga RM1.6 bilion hasil negeri melalui sistem penternakan babi moden yang dijalankan dalam bangunan tertutup lagi terkawal sepenuhnya, termasuk melalui pajakan tanah kerajaan seluas 174 hektar bagi penternakan itu.

“Kalau untuk kesemua 85 ladang babi di Perak sekarang, kutipan negeri yang selama ini kita tak dapat selama 100 tahun akan mencecah hampir RM1.6 bilion, termasuk dengan mengambil kira 430 ekar (174 hektar) tanah milik kerajaan negeri yang digunakan oleh penternak-penternak ini.

“Sekarang mereka kena bayar, kerana apa yang kita dapat daripada penternakan babi di Perak selama ini hanya lebih kurang RM300,000 iaitu melalui lesen kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV),” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here