KUALA LUMPUR – Polis berjaya merampas pelbagai barangan termasuk pokok bonsai bernilai kira-kira RM 12.8 juta dalam dua operasi bersepadu membabitkan aktiviti penyeludupan di Kuala Lumpur dan Klang, Selangor.
Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan / Operasi) Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, turut ditahan lima individu berusia 20 hingga 30-an melibatkan dua warga asing dan tiga warga tempatan.
Katanya menerusi Op Taring Alpha 2 pada 5 Ogos lalu, pihaknya menahan tiga individu terdiri daripada dua warga Myanmar dan seorang warga tempatan di dua lokasi di Kuala Lumpur.
“Kita telah merampas minuman keras pelbagai jenama serta produk makanan daripada China dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM5.1 juta.
“Antara rampasan adalah 112 tin dan 3,696 botol minuman keras pelbagai jenama bernilai kira-kira RM2.57 juta, selain 4,092 botol minuman keras jenama Zongpi CR bernilai kira-kira RM2.7 juta
“Turut dirampas pelbagai produk makanan dan minuman dari China bernilai kira-kira RM56,000,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, dalam Op Taring Alpha 5 di Klang pada hari sama, seramai dua lelaki tempatan ditahan selain pelbagai barangan bernilai kira-kira RM7.7 juta turut dirampas.
“Rampasan melibatkan minuman keras dari China bernilai RM2.1 juta, 245 karton rokok putih bersamaan 49,000 batang bernilai hampir RM300,000 serta 1,800 topi keledar bernilai RM1.8 juta.
“Selain itu, kita turut merampas 780 set aksesori telefon bernilai RM936,000, produk kecantikan bernilai RM2.29 juta serta 260 pokok bonsai berpasu pelbagai saiz dan jenis bernilai RM260,000,” jelasnya.

Tambah Muhammad, siasatan awal mendapati kedua-dua premis dipercayai digunakan sebagai pusat penyimpanan dan pengumpulan sementara sebelum barangan diedarkan kepada pelanggan tempatan.
“Kebanyakan barangan berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui pelabuhan menggunakan dokumen yang mengisytiharkan kandungan berbeza daripada barangan sebenar, manakala kegiatan itu dipercayai sudah beroperasi lebih enam bulan,” katanya.
Muhammad berkata, kejayaan kedua-dua operasi itu adalah hasil kerjasama polis dengan pelbagai agensi penguat kuasa menerusi perkongsian maklumat dan risikan.
Beliau memberitahu, bagi tempoh Januari lalu hingga hari ini, Jabatan KDNKA Bukit Aman telah menjalankan sebanyak 240 serbuan di seluruh negara, dengan 413 individu ditahan dan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM314 juta. – MalaysiaGazette
















