Bangunan Menara Tabung Haji.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka lima kertas siasatan berhubung kes membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk perkara yang dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), CP Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata setakat ini seramai 127 individu sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Kanun Keseksaan, Akta Tabung Haji 1995, Akta Syarikat 1965 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Beberapa orang lagi akan dipanggil untuk diambil keterangan, termasuk saksi dari luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata, PDRM komited memastikan setiap siasatan dijalankan secara bebas, telus dan profesional serta berlandaskan undang-undang.

Katanya, mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam sebarang perlakuan jenayah akan diambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung siasatan yang sedang dijalankan.

“Sebarang kenyataan atau penyebaran maklumat yang tidak berasaskan fakta bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan proses siasatan.

“Sehubungan itu, orang ramai diseru mendapatkan maklumat hanya daripada saluran rasmi,” katanya.

Terdahulu hari ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) direman tujuh hari berkaitan laporan RCI TH.

Perintah reman sehingga 27 Ogos ini dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Laporan RCI TH yang didedahkan selepas empat tahun, mengemukakan sebanyak 25 syor utama bagi meningkatkan ketelusan, profesionalisme, dan tadbir urus institusi terbabit.

Antara syor utama yang terkandung dalam laporan RCI terbabit ialah melarang ahli politik aktif daripada menduduki Lembaga Pengarah TH bagi mengelakkan campur tangan politik.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here