KUANTAN – Polis giat mengesan empat lelaki yang melarikan sejumlah barang kemas bernilai anggaran RM500,000 dalam kejadian samun berkumpulan bersenjata di sebuah kedai emas di Taman Pandan Damai, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2 petang tadi.
“Kejadian melibatkan empat orang lelaki yang memakai pelindung muka serta membawa sebilah parang dan objek menyerupai pump gun.
“Suspek dipercayai melarikan sejumlah barang kemas bernilai anggaran RM500,000 sebelum meninggalkan tempat kejadian dengan menaiki dua buah motosikal,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, katanya jumlah sebenar kerugian masih dalam proses pengesahan pihak polis.
Ashari berkata, pihaknya masih giat memburu kesemua suspek terlibat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Insp Che Nur Junaidah binti Che Jusuh di talian 014-882 8135 atau Bilik Gerakan IPD Kuantan di talian 09-565 2222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, beberapa klip rakaman video dimuatnaik beberapa saksi di tempat kejadian dan tular di media sosial. – MalaysiaGazette
















