KUANTAN – Dua wanita yang merupakan Pengasuh di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini kerana menganiaya dua orang kanak-kanak di sebuah taska di daerah ini.
Tertuduh, Norlida Abdul Razak, 39 dan Zairifah Zainal Abidin, 31 bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad Shaharudin.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka yang mempunyai pemeliharaan ke atas dua orang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tujuh bulan dan dua tahun lapan bulan telah menganiaya mereka dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal atau emosi.
Norlida dan Zairifah masing-masing didakwa melakukan kesalahan itu pada 15 Mei 2026 kita-kira 4.30 petang dan 11 Ogos 2026 kira-kira 2.30 petang di sebuah Taska di Taman Cenderawasih Indah, di sini.
Oleh itu, kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Izzati Wan Mohamad Zahari memohon agar RM15,000 wang jaminan dikenakan terhadap setiap seorang, namun, Peguam mereka iaitu Mohd Rusnizam Abdullah memohon agar wang jaminan yang paling minimum dikenakan terhadap kedua-duanya.
Dalam hujahannya, Mohd Rusnizam berkata, Norlida yang kini menetap di Felda Kota Gelanggi, Jerantut masih perlu menanggung kedua ibu bapa yang sudah uzur dengan pendapatan sebelum ini sekitar RM1,400.
Sementara itu Zairifah yang merupakan pemegang kad talasemia pula masih perlu menanggung seorang ibu yang sudah tua dan uzur dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.
Hakim kemudian menetapkan wang jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap seorang bersama penjamin bercagar dengan syarat tidak dibenarkan kacau ganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Beliau turut menetapkan tarikh 26 Oktober 2026 depan sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















