KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa pihak berwajib di peringkat Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak untuk melakukan semakan menyeluruh terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman.
Katanya, tragedi melibatkan empat petugas Kementerian Kesihatan bersama seorang juruterbang yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara, di Ulu Baram, Sarawak, 8 September lalu menimbulkan kebimbangan terhadap hak asasi rakyat yang tinggal di pedalaman negeri tersebut.
Jelasnya, sebahagian besar penduduk terbabit adalah Orang Asal yang sekian lama menghadapi halangan geografi dan infrastruktur untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan asas.
“Perkhidmatan FDS adalah penting untuk masyarakat di kawasan terpencil dan ia harus diteruskan.
“Walau bagaimanapun, ia sepatutnya hanya melengkapi, bukan menggantikan kemudahan kesihatan boleh akses, tenaga kesihatan terlatih, jalan raya dan jambatan yang selamat, komunikasi yang boleh dipercayai serta kaedah pengangkutan alternatif,” kata SUHAKAM.
Tambah kenyataan itu, akses yang saksama kepada perkhidmatan kesihatan merupakan sebahagian daripada pemenuhan hak ekonomi, sosial dan kebudayaan, serta menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan 3 untuk memastikan kehidupan yang sihat dan kesejahteraan untuk semua.
Sehubungan itu semakan menyeluruh yang melibatkan rundingan dengan masyarakat yang terjejas, petugas kesihatan dan pihak berkepentingan yang berkaitan perlu dilakukan segera.
Ini bagi mengenal pasti jurang sedia ada serta menetapkan langkah yang jelas, dibiayai secukupnya dan mempunyai tempoh masa bagi memperkukuh kemudahan kesihatan kekal, jaringan pengangkutan dan keupayaan tindak balas kecemasan.
Tegasnya, petugas kesihatan tidak seharusnya terdedah kepada risiko akibat jurang infrastruktur yang berlarutan dan dalam masa sama masyarakat tidak seharusnya dinafikan perkhidmatan kesihatan asas hanya kerana tempat tinggal mereka di pedalaman.
Tragedi tersebut katanya, perlu menjadi titik perubahan ke arah perkhidmatan awam yang lebih selamat, kebertanggungjawaban yang lebih kukuh dan akses yang lebih saksama kepada perkhidmatan kesihatan bagi masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak.
Dalam pada itu SUHAKAM turut menggesa pihak berkuasa berkaitan supaya segera menyemak kelayakan terbang pesawat yang digunakan untuk perkhidmatan perubatan udara.
Tambahnya, dapatan siasatan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara juga perlu didedahkan kepada umum dalam tempoh yang munasabah, berserta syor yang jelas, dan langkah berkesan bagi mencegah kejadian seumpama ini daripada berulang.
Selain itu, SUHAKAM menyarankan agar pemantauan perolehan dan kontrak hendaklah memastikan pematuhan ketat dan berterusan terhadap piawaian keselamatan yang berkaitan, termasuk penyelenggaraan pesawat, kecekapan kru, kesesuaian operasi dan kesiapsiagaan kecemasan. -MalaysiaGazette
















