KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan terus memperkasakan agenda pendidikan manusiawi dengan memberi tumpuan khusus terhadap pembangunan dan mutu pendidikan anak-anak Orang Asli di kawasan pedalaman.
Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek akan turun padang ke kawasan pedalaman selama beberapa hari bermula esok bagi meneliti secara menyeluruh pelaksanaan latihan guru, pendekatan pedagogi, kekangan operasi serta kejayaan dan sinergi komuniti setempat.
Menurutnya, usaha memperkasakan pendidikan golongan itu memerlukan pendekatan berterusan yang merangkumi penglibatan pelbagai pihak termasuk institusi dan para pengkaji.
“Kajian serta penulisan daripada para pengkaji dan penulis berkaitan pedagogi serta pemilikan pendidikan Orang Asli ini tidak harus berhenti setakat penerbitan buku sahaja.
“Dapatan serta saranan tersebut sepatutnya diterjemahkan secara bersama menerusi inisiatif berterusan di peringkat Kementerian Pendidikan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, isu pembangunan pendidikan anak-anak Orang Asli sentiasa menjadi keutamaannya dalam memperjuangkan gagasan pendidikan manusiawi di negara ini.
“Isu pembangunan pendidikan anak orang asli adalah ‘passion’ saya yang cukup mempengaruhi seluruh pendidikan manusiawi yang selalu saya canangkan.
“Barangkali kita akan terputus hubungan buat seketika tatkala saya berada di pedalaman buat beberapa hari.
“Tetapi sebaik sahaja kembali, kami akan terus bekerja melakukan yang terbaik untuk pendidikan anak-anak Orang Asli di Malaysia.
“Buat guru-guru di pedalaman yang akan saya temui nanti, tunggu kehadiran saya.
“Semoga terus kuat dan bersemangat demi anak-anak Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
















