Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hadir Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyindir budaya janji politik yang seolah-olah menggambarkan kemenangan hari ini mampu menyelesaikan segala masalah negara pada keesokan harinya.

Sindiran itu dilontarkan ketika beliau mengingatkan perwakilan bahawa politik tidak boleh dilihat semudah slogan kemenangan segera sedangkan rakyat masih berdepan pelbagai persoalan dan kemelut yang memerlukan penyelesaian sebenar.

“Kita bukan juga parti yang menjanjikan ‘menang hari ini, menang hari ini, menang hari ini’ seolah-olah segala masalah akan selesai keesokan harinya,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia hari ini.

Ketika menyebut frasa ‘menang hari ini’ , suara bergemuruh datang daripada perwakilan dari dalam Dewan Merdeka menyebabkan Ahmad Zahid berhenti seketika sebelum tersenyum dan mengulangi ungkapan berkenaan.

Beliau kemudian mengaitkan keadaan itu dengan tempoh lapan tahun yang menyaksikan negara berdepan peperangan politik yang menurutnya tidak berkesudahan walaupun pilihan raya telah lama selesai.

“Rakyat semakin penat mendengar. Siapa yang mahu dijatuhkan? Siapa yang mahu disiasat dan siapa lagi yang mahu dipersalahkan?” soalnya.

Ahmad Zahid berkata, rakyat pada akhirnya tidak mahu terus mendengar mengenai percaturan untuk menjatuhkan pihak tertentu, sebaliknya mahu mengetahui siapa yang mampu menyelesaikan kemelut yang mereka hadapi.

“Rakyat ingin tahu, siapakah yang mampu memberikan penyelesaian semua kemelut ini?” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan, UMNO tidak pernah berhasrat menggunakan pendekatan ‘tebuk atap’ dalam menentukan perubahan politik negara.

“Kita tidak pernah berhasrat untuk tebuk atap. Kalau mereka mahu begitu, ada cara lain kita mahu melakukan tindakan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran UMNO bersedia berdepan dengan mana-mana pihak yang mahu mencabar parti itu.

“Silakan. Silakan. Lawan tetap lawan. Lawan sampai lawan,” tegasnya lagi berkali-kali dengan wajah serius. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here