Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hadir bagi menaikkan Bendera Sang Saka Bangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 11 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara sinis menggesa ‘guru’ supaya mendengar suara rakyat dan tidak terus membutakan mata serta menulikan telinga terhadap keresahan yang berlaku.

Tanpa menyebut nama secara langsung, Ahmad Zahid berkata, pihak berkenaan perlu menghentikan pendekatan yang boleh menyemarakkan keresahan, kegelisahan dan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Cukup-cukuplah, guru! Dengarlah suara kami, guru! Dengarlah suara rakyat, wahai guru! Cukup-cukuplah!

“Insya-Allah, kami boleh buat lebih baik daripada yang guru buat,” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia  hari ini.

Untuk rekod, istilah ‘cikgu’ atau ‘guru’ bermula daripada rakaman audio perbualan telefon yang tular pada April 2021 dipercayai berkait rapat antara Ahmad Zahid dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam nada sama, Ahmad Zahid berkata, teguran itu bukan bertujuan membakar api atau memprovokasi sesuatu keadaan sebaliknya mahu memastikan keresahan rakyat tidak terus disemarakkan.

“Saya bukan mahu membakar api atau memprovokasikan sesuatu. Tetapi kita tidak mahu menyemarakkan keresahan. Kita tidak mahu menimbulkan kegelisahan apatah lagi menimbulkan kekeliruan yang tidak berkesudahan,” katanya.

Ahmad Zahid turut menegaskan, suara yang dibawanya bukan hanya mewakili UMNO sebaliknya turut merangkumi Barisan Nasional (BN), ahli dan kepimpinan Pas serta rakyat.

“Ini bukan hanya suara UMNO. Ini juga suara seluruh parti Barisan Nasional, seluruh ahli-ahli dan kepimpinan Pas, seluruh rakyat.

“Guru, dengarlah, guru! Jangan butakan mata! Jangan tuli telinga! Cukup-cukuplah! Hentikan, guru!” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here