KUALA LUMPUR – Sebenci mana pun mereka terhadap UMNO, parti itu tetap menjadi perhatian kawan dan lawan yang mahu mengetahui ke mana hala tuju politiknya selepas ini, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu berkata, mereka mahu mengetahui dengan parti mana UMNO akan bekerjasama, gabungan yang bakal dibentuk serta bentuk politik yang mahu ditawarkan kepada rakyat.
“Sebenci mana pun mereka kepada UMNO, mereka tetap mengikuti dengan rapat. Mereka bertanya, ke arah mana UMNO selepas ini?
“Dengan parti mana? Gabungan parti mana UMNO akan bekerjasama? Apakah bentuk politik yang mahu kita tawarkan?,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, persoalan paling penting yang sedang diperhatikan ialah mengapa UMNO perlu diberikan semula kepercayaan oleh pengundi dan rakyat.
“Dan yang paling penting, mereka ingin tahu kenapa UMNO perlu diberikan kepercayaan semula oleh pengundi dan rakyat kepada kita,” ujarnya.
Beliau berkata, perhatian terhadap UMNO bukan hanya datang daripada ahli parti yang hadir di Dewan Merdeka malah turut melibatkan mereka yang mengikuti persidangan dari luar dewan, rumah serta lokasi lain di seluruh negara dan luar negara.
Ahmad Zahid berkata, UMNO yang kini mencecah usia 80 tahun telah melalui pelbagai pasang surut perjuangan namun parti itu masih tegak berdiri dalam arena politik negara.
“80 tahun UMNO meniti sejarah bangsa. 80 tahun UMNO mengharungi pasang dan surut perjuangan. 80 tahun UMNO menghimpunkan kekuatan yang berselerak. 80 tahun UMNO mempertahankan prinsip yang tidak pernah berubah,” katanya.
Beliau berkata, sejarah sesebuah perjuangan tidak dibentuk oleh keberanian semata-mata sebaliknya memerlukan kebijaksanaan membaca zaman, memahami realiti perubahan dan memilih langkah yang tepat.
Menurutnya, prinsip itu perlu terus menjadi pegangan UMNO dalam menentukan pendekatan politiknya supaya perjuangan parti tidak terhenti di tengah jalan. – MalaysiaGazette
















