KUALA LUMPUR – Program kebajikan untuk gelandangan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut mendapat sokongan korporat antaranya NextG Berhad yang menyumbangkan RM18,000 bagi membantu menyediakan katil, bantal dan perabot kepada penghuni rumah gelandangan di ibu negara.
Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, sumbangan itu disalurkan menerusi program kebajikan bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi menyantuni golongan yang memerlukan.
Menurut beliau, program berkenaan turut mendapat sokongan dua wakil korporat yang membayar zakat menerusi skim wakalah kepada MAIWP, selain menyumbangkan barangan keperluan untuk diagihkan kepada golongan gelandangan di kawasan Pudu Raya pada malam ini.
“Alhamdulillah, kita ada syarikat korporat, NextG yang bermurah hati menyumbang sebanyak RM18,000 dalam bentuk katil, bantal dan perabot lain bagi membantu menyelesaikan keperluan penghuni rumah gelandangan ini.
“Kita juga mempunyai dua wakil yang membayar zakat melalui wakalah MAIWP dan mereka turut memberikan barangan untuk disampaikan kepada golongan gelandangan di Pudu Raya,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Program Jejak Gelandangan MAIWP Siri 3 tahun 2026 di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Nordina Haron.
Mengulas lanjut Syed Kamarulzaman berkata, program itu merupakan program ketiga dianjurkan MAIWP pada tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menyantuni golongan gelandangan di Kuala Lumpur.

Katanya, sebahagian penghuni rumah gelandangan berkenaan datang dari negeri seperti Pahang dan Kedah untuk mencari pekerjaan di ibu negara, namun peluang belum menyebelahi mereka.
“Mereka datang ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja tetapi belum mendapat pekerjaan, jadi buat sementara waktu mereka menumpang di rumah ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang zakat kepada MAIWP, khususnya badan korporat yang menyalurkan zakat melalui wakalah untuk membantu golongan yang memerlukan.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan pembayaran zakat yang disalurkan oleh syarikat korporat memberi manfaat secara langsung kepada golongan sasaran.
“Ini membuktikan MAIWP turut berperanan menyantuni golongan yang memerlukan dengan mengagihkan zakat yang dibayar supaya mereka yang benar-benar memerlukan mendapat manfaat daripada zakat tersebut.
“MAIWP akan terus melaksanakan program seperti ini secara berkala bagi membantu golongan gelandangan dan mereka yang memerlukan di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Sementara itu, Nordina ketika berucap pada majlis tersebut berkata, pihaknya amat menghargai keprihatinan MAIWP, PPZ-MAIWP dan NexG yang hadir menyantuni golongan gelandangan serta membantu mengenal pasti keperluan sebenar mereka.
Menurut beliau, Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL) mempunyai kapasiti sehingga 200 penghuni pada satu-satu masa dan kini menempatkan kira-kira 70 orang.
“Sejak ditubuhkan pada 2016, kita telah menyantuni lebih 5,000 penghuni di sini,” katanya.
Nordina berkata, kerjasama antara MAIWP dan YKN bukan perkara baharu, malah telah dilaksanakan menerusi beberapa program kebajikan sebelum ini.
Antaranya, bantuan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) pada 2021 ketika negara berdepan pandemik Covid-19.
Pada 2023 pula katanya, MAIWP menyalurkan peruntukan RM72,000 bagi pelaksanaan Program Khidmat Sukarelawan Komuniti MAIWP yang melibatkan golongan gelandangan dalam aktiviti kesukarelawanan dan khidmat komuniti di sekolah-sekolah agama di bawah MAIWP.

Tambah beliau, YKN dan PPZ turut bekerjasama dengan Public Islamic Bank Berhad serta Kulim Hi-Tech Skills Centre (KHTPSC) bagi membantu remaja daripada keluarga kurang berkemampuan mengikuti latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus membuka peluang mendapatkan pekerjaan.
“Kerjasama yang terjalin bukan sahaja memberikan bantuan untuk memenuhi keperluan semasa, malah membuka ruang kepada kumpulan sasar membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran dan mengubah kehidupan ke arah lebih baik.
“YKN amat berterima kasih kepada NexG atas keprihatinan dan kesediaan menyalurkan zakat wakalah bagi membantu golongan yang memerlukan,” katanya.
Beliau berharap hubungan strategik antara YKN, MAIWP, PPZ-MAIWP dan NexG dapat diteruskan serta diperluaskan pada masa akan datang.

“Diharapkan pertemuan ini menjadi pembuka ruang kepada lebih banyak kerjasama, bukan sahaja membantu golongan gelandangan, malah kumpulan sasar lain yang memerlukan sokongan serta peluang untuk membina semula kehidupan,” katanya.
YKN turut mengalu-alukan MAIWP, PPZ-MAIWP dan NexG untuk mengenali dengan lebih dekat pelbagai perkhidmatan serta inisiatif YKN yang berteraskan kebajikan, pendidikan dan kesihatan. – MalaysiaGazette
















