Ibu Pejabat TalentCorp di Menara Surian, Mutiara Damansara.

KUALA LUMPUR – TalentCorp berhasrat untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh penyelarasan dan membolehkan proses permohonan Program Kepulangan Pakar (REP) bagi profesional perubatan dan penjagaan kesihatan dilaksanakan dengan lebih pantas serta cekap untuk semua pihak berkaitan.

Selain itu, ia juga akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) agar kepulangan profesional Malaysia yang ingin kembali menyumbang kepakaran dan pengalaman kepada negara dipermudahkan tanpa mengabaikan pematuhan keperluan profesional serta piawaian kawal selia yang ditetapkan.

“TalentCorp menyambut baik arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sepertimana yang disampaikan olehMenteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan, supaya proses permohonan bagi rakyat Malaysia di luar negara yang berhasrat untuk kembali ke tanah air dan menyumbang kepakaran kepada negara, termasuk profesional dalam sektor perubatan dan penjagaan kesihatan, diteliti secara menyeluruh.

“Bagi profesional perubatan dan penjagaan kesihatan Malaysia di negara yang memohon melalui Program Kepulangan Pakar atau Returning Expert Programme (REP), proses tersebut turut melibatkan keperluan pendaftaran profesional untuk menjalankan amalan perubatan di Malaysia. Ini termasuk, jika berkenaan, pendaftaran dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan National Specialist Register (NSR),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut TalentCorp, pada masa sekarang, permohonan melalui REP bagi profesional perubatan dan penjagaan kesihatan yang lengkap lazimnya diproses dalam tempoh sekitar 60 hari bekerja, tertakluk kepada jadual mesyuarat jawatankuasa berkaitan.

Tambahnya, memandangkan sektor perubatan dan penjagaan kesihatan tertakluk dibawah kawal selia badan profesional berkenaan, permohonan program REP bagi kategori ini turut melalui penilaian teknikal tambahan menerusi Joint Working Committee for Healthcare Talent (JWC-HT).

Jawatankuasa berkenaan menghimpunkan TalentCorp, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), MMC serta badan kawal selia dan profesional kesihatan yang berkaitan.

Sehubungan itu menurut TalentCorp, ia akan menyemak permohonan serta dokumen sokongan yang dikemukakan dalam tempoh berkenaan bagi memastikan semua maklumat lengkap dan tepat sebelum permohonan dibawa ke peringkat penilaian dan keputusan.

Namun, sekiranya pendaftaran MMC atau NSR yang diperlukan masih dalam proses, permohonan yang memenuhi syarat REP yang lain masih boleh diteruskan untuk penilaian dan dipertimbangkan bagi kelulusan bersyarat.

Kelulusan penuh serta manfaat di bawah REP hanya boleh diberikan setelah pendaftaran MMC dan NSR yang berkenaan diselesaikan dan bukti pendaftaran dikemukakan.

TalentCorp telah melaksanakan libat urus bersama KKM bagi meneliti proses REP untuk pegawai profesional perubatan dan penjagaan kesihatan serta memperkukuh penyelarasan antara pihak berkaitan.

Ini termasuk sesi libat urus bersama Ketua Setiausaha KKM pada 22 Jun 2026, serta mesyuarat bersama anggota JWC-HT yang dijadualkan pada 21 Ogos 2026. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here