KUALA LUMPUR – Sebuah lori membawa muatan gas petroleum cecair (LPG) terbakar sepenuhnya dalam kejadian di susur Kilometer 0.1, Lebuhraya Silk, Kajang petang semalam.
Pemandu lori berusia 55 tahun dan kelindan tidak mengalami kecederaan dalam insiden itu apabila sempat memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan sempat menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 4.40 petang itu berlaku semasa lori terbabit dalam perjalanan ke Semenyih.
“Apabila sampai di tempat kejadian pemandu menyedari muatan tong gas yang dibawa telah terbakar.
“Kejadian itu menyebabkan berlaku letupan tong gas dan tercampak hingga ke seberang jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, lori berkenaan telah terbakar secara keseluruhan dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.
“Pengguna jalan raya dinasihat supaya memandu secara berhemah, mematuhi peraturan jalan raya dan berhati-hati ketika membawa muatan yang berbahaya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” ujarnya.
Terdahulu media melaporkan, sebuah lori tiga tan yang membawa muatan gas petroleum cecair (LPG) terbakar hampir keseluruhan di Lebuh Raya SILK sebelum Tol Kajang menghala ke Seremban, petang tadi.

Ujarnya lagi, sebaik anggota tiba di lokasi mendapati lori tiga tan itu sudah terbakar kira-kira 98 peratus dan seorang kelindan lelaki mengalami kecederaan serta dikejarkan ke Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan.
Operasi pemadaman melibatkan seramai lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi bersama sebuah jentera dan EMRS yang tiba di lokasi pada pukul 5.09 petang. – MalaysiaGazette
















