Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyemak semula mekanisme serta peraturan berkaitan pengeluaran MyKAS kepada individu tanpa kerakyatan.

MyKAS ialah Kad Pengenalan Pemastautin Sementara yang dikeluarkan oleh JPN.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, penilaian status seseorang perlu dibuat berdasarkan kes secara individu dan tidak hanya bergantung kepada sijil kelahiran, rekod ibu bapa atau faktor keturunan.

Sebaliknya, katanya, maklumat daripada kedutaan asing, bukti tempoh menetap di Malaysia, pengesahan komuniti serta rekod keluarga wajar turut diambil kira bagi menentukan sama ada seseorang mempunyai kewarganegaraan negara lain.

“Penentuan sama ada seseorang itu mempunyai kewarganegaraan tidak boleh hanya berdasarkan keturunan, sebaliknya perlu merujuk rekod kedutaan dan bukti lain yang berkaitan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Hishamuddin berkata, terdapat individu tanpa kerakyatan yang sudah menetap di Malaysia selama beberapa generasi, malah mempunyai ahli keluarga yang memiliki kad pengenalan Malaysia.

Katanya, terdapat juga kes individu terbabit tidak boleh dihantar pulang kerana negara yang dikaitkan dengan asal usul mereka, termasuk Filipina dan Indonesia, tidak mengiktiraf atau menerima mereka sebagai warganegara.

Menurutnya, pemberian dokumen pengenalan kepada golongan itu tidak bermaksud mereka diberikan kewarganegaraan Malaysia, sebaliknya membolehkan kerajaan mempunyai rekod identiti yang lebih teratur.

“Ini bukan lagi sekadar isu kemanusiaan, tetapi sudah menjadi isu kepentingan negara kerana golongan tanpa kerakyatan perlu diberikan identiti supaya mereka dapat direkodkan dengan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, rekod identiti yang jelas juga penting bagi membantu pihak berkuasa dari sudut keselamatan serta memudahkan urusan mendapatkan perkhidmatan asas.

Dalam pada itu, MHO menggesa kerajaan memberi perhatian kepada individu yang memasuki Malaysia secara sah menerusi pengaturan pelarian pada masa lalu, termasuk pemegang dokumen IMM13, dan tidak secara automatik menganggap generasi berikutnya sebagai pendatang tanpa dokumen.

Hishamuddin berkata, kewujudan rekod rasmi bagi individu tanpa kerakyatan turut dapat membantu pihak berkuasa mengenal pasti mereka sekiranya terbabit dalam kemalangan, kes jenayah atau kematian.

Katanya, ketiadaan cap jari dan dokumen pengenalan rasmi dalam sesetengah kes boleh menyukarkan proses pengesahan identiti.

Beliau turut menjelaskan kad tanpa kerakyatan yang dikeluarkan MHO bukan dokumen kerajaan Malaysia, tidak menjamin kelulusan MyKAS dan hanya digunakan bagi tujuan rekod dalaman serta pengurusan kes organisasi berkenaan.

Katanya, MHO menjalankan saringan dokumen dan mendapatkan pengesahan daripada kedutaan berkaitan sebelum mengemukakan kes kepada JPN untuk pertimbangan.

Hishamuddin turut menolak dakwaan usaha MHO itu bermotifkan politik atau bertujuan memberikan kewarganegaraan secara automatik kepada individu tanpa kerakyatan.

Sebaliknya, beliau berkata, MHO hanya mahu memastikan kes yang benar-benar melibatkan individu tanpa kerakyatan dinilai melalui saluran rasmi kerajaan.

“MHO tidak mahu mengambil alih kuasa JPN, sebaliknya mahu peraturan sedia ada lebih fleksibel supaya kes sebenar dapat direkodkan dan dipertimbangkan dengan sewajarnya,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here