Pandangan Bandaraya Kuching dari Bukit Siol pagi tok. nampak jerebu makin tebal. foto Sarawak Edition

KUALA LUMPUR – Keadaan jerebu di Sarawak semakin membimbangkan apabila 10 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 7.30 pagi ini.

Serian mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 191, diikuti Kuching (181), Samarahan (178), Sri Aman (174) dan Sarikei (171).

Lima lagi kawasan turut merekodkan bacaan tidak sihat iaitu Sibu dengan 160, manakala Samalaju, Bintulu dan Mukah masing-masing 156 serta Miri (151).

Bacaan tidak sihat turut direkodkan di Bukit Rambai, Melaka dengan IPU 140.

Situasi itu berlaku sehari selepas 591 sekolah di Sarawak di bawah seliaan 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diarahkan tutup susulan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu rentas sempadan.

Sekolah terbabit melibatkan PPD Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu dan Betong.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ini memaklumkan keadaan cuaca kering berterusan di kebanyakan kawasan rantau ASEAN selatan, berdasarkan Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC).

Keadaan itu turut menyumbang kepada peningkatan titik panas di Kalimantan, manakala kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga padat dari Kalimantan Barat dikesan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.

Susulan perkembangan itu, JAS meningkatkan rondaan harian dan penguatkuasaan di kawasan berpotensi berlaku pembakaran terbuka, selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan juga sudah diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani pembakaran terbuka serta situasi jerebu.

Berdasarkan klasifikasi IPU, bacaan 101 hingga 200 berada pada tahap tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here