ROMPIN – Seorang wanita dan anaknya berusia 6 tahun maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu suaminya terbabas ke dalam gaung di Kilometer 149.9 Jalan Kuantan-Segamat, di sini malam tadi.
Mangsa, Kartinie Ngatenan, 46 dan anaknya Muhammad Akif Mohd Azmi dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Menurut Ketua Polis Daerah Rompin Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, suaminya yang memandu MPV terbabit turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Muadzam Shah.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.30 malam, namun pihaknya hanya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 12.05 tengah malam tadi.
“Berdasarkan siasatan awal, MPV dinaiki kesemua mangsa dari arah Seremban menghala ke arah Felda Keratong, Rompin.
“Namun, apabila sampai di lokasi terbabit, MPV itu dipercayai telah terlanggar kayu di permukaan jalan sehingga hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan lalu terjatuh ke dalam gaung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharif Shai berkata, mayat kedua-dua beranak itu telah dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat pagi ini.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















