KUALA LUMPUR – Malaysia tidak seharusnya kelihatan memihak kepada mana-mana kuasa besar dalam konflik China-Taiwan, sebaliknya memainkan peranan sebagai negara yang mendorong penyelesaian secara aman, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Katanya, pendirian Malaysia terhadap ‘Dasar Satu China (Dasar One Chinaa) tidak menjadi masalah, namun kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai menyokong penggunaan kekuatan ketenteraan dalam menyelesaikan konflik itu boleh meletakkan negara dalam kedudukan diplomatik sukar.
Takiyuddin berkata, Malaysia perlu membezakan dasar diplomatiknya yang telah lama mantap dengan pendirian mengenai bagaimana konflik China-Taiwan perlu diselesaikan.
“Dasar Satu China tidak harus membenarkan tindakan unilateral mana-mana pihak atau menghalang Malaysia daripada menyokong dan mengutamakan dialog damai, persefahaman dua hala serta sikap kekangan dan kawalan diri pihak-pihak terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam temu bual dengan Al-Jazeera berkaitan isu China-Taiwan menimbulkan kebimbangan, khususnya apabila kemungkinan penggunaan kekuatan ketenteraan disentuh sebagai pilihan.
Menurutnya, perbandingan konflik itu dengan situasi negeri yang mahu menarik diri daripada Persekutuan Malaysia turut boleh memberi implikasi terhadap kedudukan diplomatik negara.
Katanya, Malaysia perlu berhati-hati agar tidak dilihat menyokong mana-mana pihak dalam pertikaian yang berpotensi menjadi lebih buruk.
“Apabila perdana menteri dilihat cuba menganjurkan kemungkinan penggunaan kekerasan dalam isu ini, beliau tanpa disedari telah menyempitkan ruang diplomasi Malaysia,” ujarnya.
Takiyuddin berkata, pendekatan itu juga boleh melemahkan kecenderungan ASEAN yang selama ini mengutamakan penyelesaian konflik secara aman, dasar tidak campur tangan dan autonomi strategik negara anggota.
Beliau berkata, Malaysia tidak wajar dipaksa memilih antara Beijing dengan Taipei atau Beijing dengan Washington, sebaliknya perlu mengekalkan hubungan konstruktif dengan China, Amerika Syarikat, Taiwan dan rakan kongsi lain demi kepentingan negara.
“Malaysia tidak harus membiarkan ia dilihat memihak kepada mana-mana kuasa besar dalam pertikaian dan konflik yang berpotensi besar menjadi lebih buruk,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Takiyuddin mempersoalkan laporan Kabinet tidak membincangkan kenyataan Anwar berhubung Taiwan, yang menurutnya menimbulkan persoalan mengenai koordinasi dan tanggungjawab kolektif kerajaan dalam menentukan dasar luar Malaysia.
Katanya, Malaysia sepatutnya menggunakan kedudukannya untuk mendorong China dan Taiwan mencari titik pertemuan melalui dialog, bukannya menerima ketegangan semasa sebagai laluan yang tidak dapat dielakkan menuju konflik.
“Malaysia perlu menampilkan kepimpinan bijaksana yang mampu berdiri lebih tinggi daripada pertikaian yang wujud, berpandangan jauh dalam memelihara ruang strategik negara serta mengutamakan keamanan dan kestabilan,” tegas beliau. -MalaysiaGazette
















