KUANTAN – Nasib dua anak Allahyarham Muhamed Hanifa Mammu, 47 yang ditemukan meninggalkan dunia akibat lemas di Kampung Lebak Seberang, Temerloh semalam akan terbela.
Nurul Izni Zafirah, 17 dan Muhamad Aif Izzuddin, 13 kini berstatus yatim piatu selepas ibu mereka mereka meninggal dunia akibat kanser pada bulan Mei lepas, disusuli ayah yang meninggal dunia akibat lemas semalam.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memberi jaminan akan memastikan kebajikan kedua-dua anak yatim piatu itu dijaga sehingga mereka tamat pengajian.
“Insya-Allah, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) akan mengambil kakak, Nurul Izni Zafirah yang kini belajar di SMK Seri Tualang, sebagai Anak Angkat YPM dan membantu kos pembelajarannya sehingga tamat pengajian.
“Manakala adiknya, Muhamad Aif Izzuddin yang sedang menuntut di MRSM Mersing, akan menerima Bantuan BUDI MARA bagi membantu keperluan persekolahannya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Dengan bantuan BUDI MARA itu, remaja tersebut akan menerima duit poket secara bulanan bagi menampung perbelanjaan di institusi tersebut.
Beliau berharap, bantuan berkenaan dapat meringankan beban dan memberi ruang kepada anak-anak Allahyarham untuk terus melangkah mengejar masa depan.
“Yang penting, Aif kena kuat. Jangan lupa doa arwah ayah dan emak supaya mereka berada ditempat terbaik, Allah pelihara dan Allah jaga.
“Yang penting juga, Aif kena membanggakan arwah mak dan arwah ayah. Aif kena berjaya dengan cemerlang,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf turut menawarkan diri untuk menanggung segala pembiayaan bagi pengurusan jenazah ayah mereka.
Difahamkan kedua-dua remaja itu menetap bersama ibu saudara mereka buat sementara waktu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Tiga Hari Dicari, Pemancing Ditemukan Lemas Di Sungai Pahang #MGFlash
















