KUALA LUMPUR – Malaysia dan Pakistan akan memperkukuh semula kerjasama risikan serta operasi penguatkuasaan bagi membanteras rangkaian penyeludupan dadah rentas sempadan yang semakin kompleks.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu antara fokus perbincangan beliau ketika mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Anti-Narcotics Force (ANF) Pakistan di Islamabad, semalam.
Katanya, beliau menerima taklimat daripada Ketua Pengarah ANF, Mejar Jeneral Abdul Moeed berhubung ancaman dadah semasa, laluan penyeludupan serantau serta operasi penguatkuasaan agensi berkenaan.
“Terdapat peningkatan dadah sintetik seperti methamphetamine serta penglibatan rangkaian jenayah terancang transnasional yang beroperasi merentas sempadan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau.
Menurutnya, kedudukan Pakistan yang berhadapan secara langsung dengan aliran dadah dari Afghanistan menjadikan kerjasama dengan negara itu penting kepada Malaysia, terutama apabila laluan penyeludupan turut menjangkau Asia Timur dan Asia Tenggara.
“Kita tidak boleh menangani ancaman ini hanya dalam lingkungan sempadan negara atau rantau ASEAN,” katanya.
Saifuddin berkata, Malaysia dan Pakistan mempunyai asas kerjasama operasi yang kukuh, termasuk lebih 28 kes yang pernah diselaraskan bersama antara 2012 hingga 2018.
Justeru, katanya, Malaysia mahu menggiatkan semula kerjasama itu menerusi perkongsian risikan yang lebih aktif, operasi berasaskan risikan secara terselaras, latihan serta pertukaran kepakaran antara agensi kedua-dua negara.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama membanteras narkotik bagi menyediakan kerangka lebih tersusun untuk memperkukuh kerjasama sedia ada.
“Dalam menghadapi rangkaian jenayah yang semakin canggih, kerjasama antara agensi penguatkuasaan tidak boleh sekadar berada di atas kertas,” ujarnya.
Beliau berkata, maklumat perlu dikongsi, risikan diterjemahkan kepada tindakan dan jaringan antarabangsa dimanfaatkan bagi memutuskan rantaian bekalan dadah sebelum bahan terlarang itu sampai ke Malaysia. -MalaysiaGazette
















