Temubual Eksulusif SkopMG bersama Bekas Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming di Pejabat Malaysia Gazette Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto AIZAT ZAINAL, 21 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR –  Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong penyatuan Taiwan dengan China termasuk melalui penggunaan kekerasan disifatkan tidak perlu dan berbahaya kerana boleh menjejaskan kepentingan ekonomi serta kedudukan dasar luar Malaysia.

Bekas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming berkata, kenyataan Anwar dalam temu bual bersama Al Jazeera itu berisiko memberi gambaran bahawa Malaysia mula memihak kepada salah satu pihak dalam persaingan geopolitik China-Amerika Syarikat.

Kian Ming berkata, Malaysia sebelum ini mengambil pendekatan untuk tidak menyentuh kaedah penyatuan Taiwan-China atau menggunakan istilah penyatuan secara aman sebagai rujukan dalam pendirian negara.

“Tidak ada keperluan untuk Anwar menjawab persoalan sama ada penggunaan kekerasan wajar dalam penyatuan Taiwan dengan China.

“Sebagai seorang ahli politik berpengalaman, saya menjangkakan beliau akan mengelak isu itu dan tidak terperangkap dengan soalan yang boleh menimbulkan sensasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kenyataan itu juga boleh memberi kesan kepada keyakinan pelabur Taiwan, terutama ketika Malaysia sedang menarik pelaburan besar dalam sektor semikonduktor.

Beliau berkata, Taiwan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia pada 2025 dengan jumlah dagangan RM230 bilion, selain menjadi pelabur asing kelapan terbesar negara dengan lebih RM4 bilion pelaburan diluluskan pada tahun sama.

Katanya, banyak syarikat Taiwan menggunakan strategi Taiwan + One bagi mempelbagaikan risiko operasi dan Malaysia antara negara yang mendapat manfaat daripada trend itu.

“Daripada mendedahkan Malaysia kepada publisiti negatif yang boleh menjejaskan sebahagian pelaburan dari Taiwan.

”Malaysia sepatutnya secara senyap memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Taiwan tanpa menjejaskan dasar satu China yang penting untuk dikekalkan kerana hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia yang rapat dengan China,” katanya.

Kian Ming berkata, Kementerian Luar Taiwan turut memberi amaran bahawa sokongan Anwar kepada China boleh menjejaskan keyakinan syarikat Taiwan yang merancang untuk melabur di Malaysia.

Kebimbangan sama, katanya, turut disuarakan Taiwan Chamber of Commerce & Industry in Malaysia (TCCIM).

Dalam pada itu, Kian Ming menyifatkan perbandingan Anwar mengenai kemungkinan sebuah negeri di Malaysia berpisah daripada Persekutuan dengan hubungan China-Taiwan sebagai terlalu mudah.

Katanya, Sabah dan Sarawak menyertai pembentukan Malaysia pada 1963 dan kedua-duanya terbabit dalam pilihan raya negeri serta Persekutuan.

“Tidak ada keperluan untuk membawa isu mana-mana negeri mahu meninggalkan Malaysia kerana perkara itu tidak pernah dibincangkan secara serius dalam kalangan pemain politik utama negara.

“Sekiranya isu sedemikian dibincangkan sekalipun, terdapat cara aman untuk menyelesaikannya, termasuk melalui referendum seperti yang diamalkan dalam demokrasi lain,” tegas beliau.

Kian Ming berharap isu berkenaan dapat reda tanpa menjejaskan kepentingan ekonomi dan politik Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.

Beliau turut menasihatkan Anwar supaya membuat persediaan lebih rapi bagi temu bual seumpama itu pada masa akan datang.

“Tanpa persediaan yang mencukupi dan penelitian terhadap nota taklimat yang diberikan, mungkin lebih baik Anwar menolak temu bual sedemikian pada masa akan datang,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here