Bendera parti Perikatan Nasional telah mula dipasang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Pasir Gembor, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 08 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) tidak perlu takut atau gentar untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang sekiranya usaha menjalin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, tidak membuahkan hasil, kata penganalisis politik, Shahbudin Husin.

Beliau berkata, PN tidak pernah takut untuk bertanding sendiri, sebaliknya usaha menjalin kerjasama dengan BN bagi merealisasikan agenda penyatuan Melayu menerusi kerjasama antara UMNO dan Pas.

Menurutnya, UMNO dan Pas merupakan dua parti Melayu terbesar yang masing-masing menerajui BN dan PN, justeru kerjasama antara kedua-duanya dilihat lebih menjamin usaha penyatuan Melayu di negara ini.

“Baik di Melaka dan di mana saja, Pas dan PN tidak pernah ada rasa takut untuk bertanding solo. Cuma, hasrat Pas dan PN ialah untuk menyatukan Melayu dan sebab itulah cuba dijalin kerjasama dengan UMNO/BN,” katanya dalam tulisannya di media sosial.

Shahbudin berkata, PN mempunyai kelebihan di Melaka walaupun gabungan itu ketika ini hanya mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kerana menguasai tiga kerusi Parlimen iaitu Jasin, Masjid Tanah dan Tangga Batu.

Menurutnya, kedudukan itu memberikan PN kelebihan dari segi akses kepada pengundi dan tidak mustahil gabungan berkenaan mampu mencatat prestasi lebih baik di peringkat DUN berbanding BN sekiranya kedua-dua gabungan bertembung pada PRN akan datang.

Beliau turut mendakwa PN mempunyai jumlah ahli Parlimen lebih ramai di peringkat nasional berbanding BN, dengan Pas mempunyai 43 ahli Parlimen dan Wawasan 19, berbanding 30 ahli Parlimen BN.

“Dengan itu, tiada sebab untuk PN takut atau gentar untuk bertanding solo,” katanya.

Shahbudin berkata, usaha penyatuan Melayu yang didakwa telah berjaya dilaksanakan di Johor dan Negeri Sembilan wajar diperluaskan ke Melaka dan negeri-negeri lain.

Bagaimanapun, sekiranya UMNO dan BN tidak lagi meletakkan agenda penyatuan Melayu sebagai keutamaan, beliau berpandangan PN tidak perlu terus menunggu dan sebaliknya boleh mengumumkan keputusan bertanding di kesemua 28 kerusi DUN Melaka.

“Lebih baik PN segera mengumumkan untuk bertanding di semua 28 kerusi yang ada di DUN Melaka. Biar PN berlawan dan bertentang mata secara depan-depan dengan BN,” katanya.

Beliau mencadangkan Pas, Wawasan dan Pejuang bertanding di kerusi majoriti Melayu, manakala Gerakan dan MIPP bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu.

Dalam pada itu, Shahbudin mendakwa, faktor yang membawa kemenangan BN pada PRN Melaka 2021 tidak lagi wujud pada PRN akan datang.

Katanya, sama ada bertanding solo atau sekiranya BN memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), PN berpotensi memperoleh sokongan lebih besar daripada pengundi Melaka.

“Lebih-lebih lagi jika dibantu oleh peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi, PN memang berpotensi menang lebih banyak kerusi,” hujah beliau,

Beliau berkata, PRN Melaka juga boleh menjadi medan terbaik bagi PN membuktikan kemampuan gabungan itu sebagai sebuah blok politik yang lengkap dan bersedia untuk mentadbir negara.

“Bermula di Melaka juga, jika BN hilang kuasa, ia adalah petanda lebih buruk buat mereka pada PRU16 nanti,” katanya.

Shahbudin turut mendakwa kedudukan PN kini semakin kukuh di mata rakyat, manakala BN berdepan pelbagai isu semasa termasuk berkaitan Tabung Haji, Felda dan beberapa tangkapan kebelakangan ini.

“Bertanding solo adalah pilihan paling ideal buat PN, bermula di Melaka dan seterusnya di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here