KUANTAN – Tindakan pantas Nurul Nazira Mohd Yusof berjaya menyelamatkan empat nyawa termasuk tiga anak asuhan ibunya ketika rumah mereka di Kampung Pandan 1, di sini terbakar pada Khamis lalu.
Menceritakan detik kejadian, dia berusia 21 tahun bersama ibunya Saedah Ibrahim, 61, sedang menyuap makanan kepada tiga anak asuhan iaitu kanak-kanak kembar berusia dua tahun dan seorang lagi berusia setahun di ruang tamu rumah.
Manakala ayahnya, Mohd Yusof Mohamed, 60, keluar menjemput adiknya Nurul Najwa, 19, pulang dari Kolej Tingkatan Enam Astana di sini.
“Masa tu kira-kira pukul 4 petang. kami dengar ada bunyi meletup di depan rumah. Mulanya tak endah tapi apabila bunyi kali kelima, saya jenguk keluar tengok api sudah marak.
“Saya bergegas capai kunci kereta dulu dan keluarkan kereta, sebab api dekat dengan kereta saya. Lepas tu, terus masuk rumah, tengok emak tengah siram air untuk padamkan api,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Nurul Nazira kemudiannya terus mencari ketiga-tiga kanak-kanak tersebut dan mendapati mereka menyorok di dalam bilik tidur yang terletak berhampiran pintu hadapan rumah.
Lebih mencemaskan, ketika diajak keluar menyelamatkan diri, mereka enggan kerana ketakutan dan merasa lebih selamat berada dalam bilik tersebut.
“Lepas tu, saya tak fikir panjang, saya angkat dua daripada mereka manakala ibu tarik lagi seorang tapi kami terpaksa keluar secara merangkak sebab api dah marak sampai atas bumbung. Rumah ini jenis berkembar separa kayu, jadi api tu kejap sangat marak. Tak sampai lima minit,” ceritanya lagi.
Sejurus berjaya keluar, dia yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu terus menghubungi kedua-dua keluarga anak asuhan sebelum menghubungi pihak bomba.
Katanya, dia cuba untuk masuk semula untuk menyelamatkan dokumen peribadi serta barang keperluan lain namun membatalkan hasrat selepas melihat bumbung rumah itu runtuh tidak lama kemudian.
“Hanya mampu menangis dalam hati. Tak sempat nak selamatkan apa-apa,” katanya.
Dalam kejadian itu, sebuah lori milik bapanya yang digunakan untuk berniaga turut terbakar, sebuah motosikal selain sebuah lagi kereta juga milik bapanya yang tidak dapat dialihkan kerana rosak akibat kemalangan sebelum ini.
Dia bagaimanapun bersyukur tiada nyawa terkorban ketika kejadian dan mereka empat sekeluarga kini tinggal sementara di sebuah rumah inap desa di kawasan berhampiran.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, pihak Pejabat ADUN telah menyalurkan bantuan kewangan segera bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa.
Menurutnya, kebakaran itu menyebabkan rumah mangsa hangus sepenuhnya, termasuk buku, pakaian dan dua komputer riba milik anaknya yang masih bersekolah di Tingkatan Enam.
“Saya harap mereka sekeluarga tabah menghadapi ujian berkenaan dan menerima kejadian itu sebagai ketentuan Allah,” katanya.
Beliau dalam masa sama menyarankan setiap isi rumah menyediakan alat pemadam api khususnya mereka yang tinggal di rumah kayu bagi membolehkan kebakaran kecil ditangani lebih awal.
“Kalau dapat ada alat pemadam api itu, mungkin kebakaran-kebakaran yang bermula dengan kecil dapat dielakkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















