Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Zaid Ibrahim mendakwa DAP kini semakin berpengaruh sehingga polis menyiasat Tan Sri Abdul Hadi Awang susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Pas itu, sekali gus menunjukkan parti itu seolah-olah tidak boleh disentuh.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, siasatan terhadap Abdul Hadi menimbulkan persoalan mengenai kenyataan yang didakwa mempunyai unsur jenayah sehingga mendorong polis menjalankan siasatan.

“DAP benar-benar berkuasa dan berpengaruh. Tok Guru Hadi menulis sesuatu di Facebook yang tidak disenangi mereka dan lihatlah, polis sudah menjalankan siasatan. Itu tindakan pantas oleh polis.

“Apa yang dikatakan sehingga dianggap bersifat jenayah?” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Semalam, Malaysiakini melaporkan, polis telah mengambil keterangan Abdul Hadi Awang berhubung tulisannya mengenai DAP baru-baru ini.

Setiausaha politiknya, Syahir Sulaiman berkata, Hadi telah memberikan kenyataan kepada polis di Kuala Lumpur minggu lalu.

“Siasatan minggu lepas.

“Presiden beri kerjasama sepenuhnya. Jika ada pertuduhan, presiden sedia jawab di mahkamah,” kata Syahir.

Zaid mendakwa, DAP bersikap seperti “sesumpah” dengan pendirian yang berubah-ubah mengenai kebebasan bersuara.

Menurut Zaid, DAP sebelum ini sering mengkritik dan membuat pelbagai tuduhan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta UMNO selama puluhan tahun tanpa tindakan polis dipanggil untuk menyiasat.

“Sekarang apabila mereka berada dalam kerajaan, keadaannya berbeza,” katanya.

Zaid berkata, walaupun politik di Malaysia sering bersifat keras, kebebasan bersuara dan kebebasan menyatakan pendapat perlu dihormati semua pihak.

Beliau berpandangan pihak yang terbabit dalam politik tidak seharusnya membuat laporan kepada polis setiap kali berdepan kenyataan pihak lawan yang tidak disenangi.

“Kebebasan bersuara adalah untuk semua orang dan bukan hanya untuk mereka, golongan hipokrit, tetapi juga untuk Hadi,” katanya.

Dalam pada itu, Zaid mempersoalkan mengapa Abdul Hadi tidak boleh mengkritik kenyataan pihak tertentu sedangkan beliau mendakwa penyokong DAP turut menggunakan pelbagai gelaran terhadap Pas, termasuk melabel parti itu sebagai penyebar kebencian, bodoh, fanatik, perkauman dan Taliban.

Secara sinikal, Zaid mendakwa, siasatan polis terhadap Hadi menunjukkan DAP kini berada pada kedudukan yang sangat berpengaruh dalam kerajaan.

“Siasatan polis terhadap Hadi menunjukkan satu perkara dengan jelas. DAP kini seolah-olah tidak boleh disentuh. Bagi Zahid Hamidi dan UMNO untuk terus duduk semeja dengan DAP membuat saya berasa jengkel,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here