Dr. Muhamad Akmal Saleh

MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengulangi pendiriannya untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, keputusan berkenaan tidak pernah berganjak dan menjadi pendiriannya seperti diungkapkan sebelum ini.

“(Jika) BN-PH (kerjasama) saya tak akan bertanding, itu memang pendirian saya,” katanya ringkas ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pendirian Dr Akmal itu dibuat susulan perkembangan mengenai kemungkinan BN dan PH membuka perbincangan mengenai kerjasama menghadapi PRN Melaka yang semakin hampir.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata kemungkinan perkara itu akan dibincangkan dengan Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Rabu lalu, Ab Rauf menyifatkan pendirian Dr Akmal itu sebagai terlalu awal kerana sehingga kini beliau tidak memberikan sebarang kata putus mengenai kerjasama yang bakal dibentuk.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka sebelum ini berkata, BN Melaka terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak menerusi formula BN Plus, namun menegaskan belum ada titik pertemuan rasmi dengan mana-mana parti setakat ini.

Bagaimanapun tegasnya, BN akan mempertahankan 21 daripada 28 kerusi yang dimenangi pada PRN lalu sebagai asas dalam sebarang rundingan kerjasama.

Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi, manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

ADUN PH kemudiannya dilantik menganggotai barisan Exco negeri bagi mencerminkan komposisi Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Bagaimanapun Julai lalu, PH Melaka secara rasmi menarik balik sokongan dan keluar daripada kerajaan negeri selepas membantah pindaan perlembagaan negeri yang membolehkan pelantikan sehingga tujuh ADUN lantikan yang tidak dipilih melalui pilihan raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here