KUALA LUMPUR – Polis telah merakam 92 keterangan saksi bagi membantu siasatan kematian seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang ditemukan tergantung di kediamannya di Jalan Langkawi di sini pada 18 Ogos lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada hari sama.
Beliau berkata, polis menerima panggilan kira-kira 1.59 pagi daripada seorang wanita yang memaklumkan anaknya ditemukan tergantung di dalam bilik di kediaman mereka.
“Mangsa dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur menggunakan ambulans dan menerima rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 2.25 pagi oleh pegawai perubatan.
“Bedah siasat dijalankan Pegawai Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur dan punca kematian adalah compression of the neck due to hanging,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, satu laporan mati mengejut dibuka oleh Ketua Polis Balai Setapak sebum polis menerima laporan kedua daripada ibu mangsa pada kira-kira jam 7.49 malam, 19 Ogos lalu.
Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju kemudian menjalankan siasatan lanjut terhadap laporan berkenaan.
“Sebanyak 92 keterangan saksi telah dirakam bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sesyen tersebut ialah peruntukan menangani gangguan, ancaman, penghinaan dan perbuatan membuli termasuk komunikasi dalam talian.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.
Difahamkan, kes ini membabitkan pelajar berusia 14 tahun, Keziah Nisha, yang mencetuskan perhatian ramai selepas beberapa pihak membuat laporan polis kerana mengesyaki wujud unsur buli, susulan dakwaan mangsa meninggalkan nota sebelum insiden berkenaan. – MalaysiaGazette
















