Gambar file lemas. Foto HAZROL ZAINAL, 25 FEBRUARI 2022.

KENINGAU – Dua remaja lelaki yang hilang ketika mandi-manda di Sungai Pegalan, Kampung Bakti di sini selepas hanyut dibawa arus deras petang semalam, ditemukan lemas hari ini.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan mangsa pertama Jasti Gomen, 16, ditemukan pada 10.34 pagi tadi, manakala mangsa kedua Khend Rommel Ponce Caceres, 13, dijumpai pada 3.55 petang.

“Mayat pertama ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jarak 50 meter dari lokasi dilaporkan lemas, manakala mangsa kedua dijumpai pada jarak 80 meter,” menurut kenyataan JBPM Sabah hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan kedua-dua mayat diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan sepenuhnya pada 5 petang.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang semalam, kedua-dua mangsa dikatakan mandi bersama-sama rakan-rakan sebelum terjatuh dari tebing sungai lalu hanyut dibawa arus deras.

Pihak bomba yang menerima panggilan kecemasan pada 3.15 petang semalam melancarkan pencarian awal sebelum menangguhkan operasi pada 6 petang berikutan keadaan cuaca dan hari semakin gelap.

Operasi SAR disambung semula pada 9 pagi tadi, dibahagikan kepada dua sektor pencarian meliputi permukaan air sejauh tiga kilometer dan teknik selaman khusus oleh lima anggota PPDA Kuala Penyu, bermula pada 10.30 pagi.

Sebanyak 15 anggota JBPM daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dan BBP Kuala Penyu, tujuh anggota PDRM, 13 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Keningau serta lima ahli kumpulan sukarelawan tempatan Galon Star terlibat dalam operasi berkenaan.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here