Suspek melambai ke arah pihak media sebaik menyedari gambarnya dirakam di pekarangan Mahkamah Majistret George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Lelaki berusia 62 tahun yang ditahan kerana disyaki memukul jirannya berusia 80 tahun menggunakan sebatang besi di Jalan Perak di sini semalam, direman tujuh hari.

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Majistret Nurhanisah S H Sahul Hamid bermula hari ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

MalaysiaGazette difahamkan, mangsa dilaporkan akan menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini susulan kecederaan yang dialami akibat kejadian tersebut.

Terdahulu, suspek tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini, kira-kira jam 9.03 pagi dengan diiringi anggota polis sebelum bertindak melambai ke arah petugas media sebaik menyedari dirinya dirakam.

ARTIKEL BERKAITAN

Polis tahan lelaki pukul jiran berusia 80 tahun dengan besi

Media semalam melaporkan, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad mengesahkan tangkapan suspek selepas pihaknya menerima maklumat awam berhubung kejadian pergaduhan jiran kira-kira jam 9.55 pagi.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi apabila mangsa, lelaki warga tempatan berusia 80 tahun, dipukul suspek yang juga jirannya menggunakan sebatang besi di hadapan rumah.

“Akibat daripada pukulan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian tangan serta kaki dan kini masih menerima rawatan di HPP.

“Susulan itu, pihak polis menahan suspek selain merampas sebatang besi yang digunakan dalam kejadian itu di rumahnya,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah Abdul Rozak, punca kejadian dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dan suspek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here