Sebahagian vape mengandungi dadah yang dirampas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia di sekitar Lembah Klang dan Op Vape 1.0 Se-Malaysia bernilai RM 18.75 Juta ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 APRIL 2026.

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak boleh menunggu sehingga kemudaratan akibat penggunaan vape menjadi tidak dapat dipulihkan sebelum mengambil tindakan lebih tegas, kata Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC).

Presidennya, Prof. Dr Murallitharan Munisamy berkata, rekod penghakiman Mahkamah Tinggi sendiri mengiktiraf kebimbangan kesihatan awam yang serius berkaitan nikotin dan penggunaan vape, termasuk risiko ketagihan dalam kalangan golongan muda.

Katanya, bukti yang dikemukakan kepada mahkamah merangkumi peningkatan penggunaan vape dalam kalangan belia, kandungan nikotin, kaitannya dengan permulaan merokok serta risiko kesihatan lebih luas berkaitan rokok elektronik dan produk vape.

“Pengajaran kepada pembuat dasar adalah jelas, peraturan kesihatan awam tidak boleh dikurangkan semata-mata kepada percukaian dan kutipan hasil.

“Percukaian mungkin merupakan salah satu instrumen kawalan tembakau, tetapi ia tidak boleh menggantikan langkah berkesan untuk mengurangkan ketersediaan, kebolehcapaian dan daya tarikan produk nikotin yang menyebabkan ketagihan, khususnya dalam kalangan golongan muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MCTC berkata, Mahkamah Tinggi turut mengambil perhatian bahawa sebelum pengecualian pada 2023, nikotin diklasifikasikan sebagai racun Kumpulan C dan tertakluk kepada sekatan di bawah Akta Racun 1952.

Menurutnya, rekod penghakiman turut menyatakan pengecualian cecair dan gel nikotin daripada Senarai Racun dikaitkan dengan pengenaan duti eksais, ketika mahkamah meneliti sama ada pertimbangan kesihatan berkaitan telah diambil kira dengan sewajarnya.

Dalam pada itu, MCTC menyokong pendekatan Kerajaan Negeri Perak yang menggunakan kuasa pelesenan pihak berkuasa tempatan bagi menghapuskan akses komersial kepada produk vape secara berperingkat.

MCTC berkata, dua persoalan berbeza perlu dibezakan, iaitu sama ada penggunaan dan penjualan vape perlu dikawal demi kepentingan kesihatan awam serta sama ada mekanisme undang-undang yang digunakan Kerajaan Negeri Perak berada dalam lingkungan kuasa yang diperuntukkan undang-undang.

“Persoalan kedua sewajarnya ia ditentukan oleh mahkamah. Namun, persoalan pertama tidak seharusnya menjadi tebusan kepada litigasi komersial.

“MCTC mengalu-alukan ketegasan kerajaan negeri untuk mempertahankan dasar tersebut di mahkamah,” katanya.

MCTC turut berpandangan pendekatan berbeza antara pihak berkuasa Persekutuan dan negeri menunjukkan keperluan mendesak untuk kerajaan menyediakan dasar nasional yang jelas dan konsisten berkaitan vape.

Katanya, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) digubal bagi mengawal produk merokok termasuk vape, dengan objektif melindungi kesihatan awam dan mencegah akses oleh golongan bawah umur.

Akta berkenaan mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024 dan memperkenalkan kerangka kawal selia bagi produk merokok serta vape.

“Apabila bukti menunjukkan kawalan sedia ada tidak mencukupi, kerajaan harus mempunyai ruang untuk mengambil langkah yang lebih tegas dalam lingkungan kuasa undang-undang yang sah,” katanya.

Sehubungan itu, MCTC menggesa kerajaan Persekutuan menyokong negeri dan pihak berkuasa tempatan yang mengambil langkah lebih tegas serta sah di sisi undang-undang bagi mengurangkan ketersediaan produk vape.

MCTC turut mahu kerajaan menjelaskan segera hubungan undang-undang antara Akta 852 dan Akta Racun 1952, khususnya susulan penghakiman Mahkamah Tinggi dan keputusan kerajaan menarik balik rayuannya.

Selain itu, kerajaan digesa menutup jurang kawal selia berkaitan produk mengandungi nikotin, komposisi produk, kepekatan nikotin, perisa, peranti dan penjualan, selain memperkukuh penguatkuasaan terhadap produk haram dan tidak berdaftar.

MCTC juga menggesa kerajaan menetapkan laluan nasional yang jelas ke arah Malaysia Bebas Rokok 2040, dengan pencegahan ketagihan nikotin dalam kalangan kanak-kanak dan usaha berhenti merokok dalam kalangan pengguna sedia ada sebagai objektif utama.

Dalam pada itu, MCTC juga mengiktiraf semakan kehakiman sebagai mekanisme penting bagi menghalang penyalahgunaan atau penggunaan kuasa kerajaan yang tidak sah.

“Kerajaan mesti bertindak dalam lingkungan undang-undang dan keputusannya mesti mampu bertahan daripada penelitian kehakiman.

“Kedaulatan undang-undang dan perlindungan kesihatan awam bukanlah dua prinsip yang bertentangan. Kedua-duanya saling melengkapi,” katanya.

MCTC berkata, ujian muktamad terhadap dasar tembakau dan nikotin bukanlah berapa banyak hasil yang dapat dijana sesuatu produk, sebaliknya sejauh mana kerajaan berjaya melindungi rakyat, khususnya kanak-kanak, daripada ketagihan dan penyakit yang boleh dicegah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here