Mohd Ali mengetuai perarakan sambil diiringi Ab Rauf pada Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka Tahun 1448H/2026M di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, Duyong, Melaka pagi ini

MELAKA – Umat Islam diingatkan supaya tidak membiarkan perbezaan pandangan dan pendirian merenggangkan tali persaudaraan, sebaliknya kembali merapatkan saf apabila menyentuh kepentingan rakyat serta masa depan negeri.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, perbezaan pandangan, pendirian dan pendekatan adalah perkara biasa, namun ia tidak seharusnya menyebabkan kebersamaan yang dibina selama ini terhakis.

“Kita mungkin berbeza pandangan, pendirian, malah ada kalanya berbeza pendekatan… tetapi jangan sampai perbezaan itu merenggangkan tali persaudaraan dan meruntuhkan kebersamaan yang telah kita bina.

“Ingatlah, apabila menyentuh kepentingan rakyat dan masa depan Melaka, kita mesti kembali merapatkan saf dan berdiri bersama,” katanya.

Mohd Ali melafazkan perasmian Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka Tahun 1448H/2026M di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, Duyong, Melaka pagi ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka Tahun 1448H/2026M di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, Duyong, di sini, pagi ini.

Perasmian sambutan dihadiri kira-kira 5,700 peserta daripada 99 kontinjen pelbagai agensi kerajaan dan swasta  itu disempurnakan Yang di-Pertua Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.

Ab Rauf dalam ucapannya, turut mengaitkan penghayatan Maulidur Rasul dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat, yang menurutnya menuntut semua pihak mengutamakan kebersamaan dan kepentingan rakyat berbanding perbezaan masing-masing.

“Walaupun datang daripada latar belakang yang berbeza, membawa peranan yang berbeza, kita tetap berdiri bersama dalam satu saf.

“Kita bersama melangkah dengan satu semangat dan dipertautkan oleh rasa hormat, kasih dan kerinduan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Menurutnya, nilai yang dibawa Rasulullah SAW termasuk menyatukan pihak yang berpecah, mendamaikan persengketaan serta membina ummah berasaskan keadilan, amanah dan kasih sayang.

“Sejajar dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat, inilah semangat yang perlu kita bawa pulang daripada sambutan Maulidur Rasul ini.

“Selagi ada ruang untuk dibantu, selagi ada jalan untuk diusahakan, kerajaan negeri akan terus hadir, terus menyantuni dan terus mencari jalan terbaik untuk rakyat Melaka,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini, ‘Madani Dihayati, Ummah Diberkati’, perlu diterjemahkan melalui akhlak, amanah dan amalan kebaikan dalam kehidupan seharian.

Katanya, nilai berkenaan bukan sekadar sesuatu yang diungkapkan, sebaliknya perlu dibuktikan melalui tindakan.

“Kerana pada akhirnya, nilai itu bukan hanya pada apa yang kita ungkapkan, tetapi pada akhlak yang kita tunjukkan, amanah yang kita tunaikan dan kebaikan yang kita lakukan kepada orang di sekeliling kita,” katanya.

Sementara itu, Ab Rauf turut mengambil kesempatan mengumumkan pengisian khas sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 pada 31 Ogos ini.

Beliau mengajak seluruh rakyat Melaka hadir ke Dataran 1 Malaysia, Klebang pada 29 Ogos bagi menjayakan program Melaka Berselawat bersama Habib Syech Abdul Qodir Assegaf.

“Kita satukan hati dengan selawat, kita iringi kemerdekaan dengan doa, agar bumi Melaka dan negara yang kita cintai ini terus aman, dilindungi serta dilimpahi keberkatan Allah SWT,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengumumkan kerajaan negeri akan memberikan kemasukan percuma ke produk-produk pelancongan terpilih di Melaka kepada semua pengunjung dan pelancong sempena sambutan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here