Mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah berucap pada Musyawarah Nasional 2.0 Realiti dan Persepsi jangan mempolitikkan Tabung Haji di Premiera Hotel, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 25 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR –  Tabung Haji tidak pernah berada dalam keadaan lingkup atau tidak solven, termasuk pada tahun 2017, tegas Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.

Bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Tabung Haji itu berkata, oleh itu istilah ‘tidak solven’ yang digunakan untuk menggambarkan kedudukan Tabung Haji ketika itu perlu diperjelaskan kerana ia membawa maksud tidak mampu memenuhi tanggungan kewangan.

“Pada tahun 2017 pun Tabung Haji tidak lingkup. Saya sudah terangkan sebab ada yang kata Tabung Haji tidak solven. Saya kata, apa istilah tidak solven ini? Tidak solven ini maknanya lingkup.

“Maknanya saya sudah jawab tadi, tidak lingkup. Tabung Haji kukuh,” katanya ketika membentangkan perkara itu pada program ‘Musyawarah Nasional: Realiti atau Persepsi: Jangan Politikkan Tabung Haji’ di Hotel Primera, Kuala Lumpur, hari ini.

Irwan berkata, kedudukan kewangan Tabung Haji perlu dilihat berdasarkan angka serta kaedah penilaian yang digunakan, termasuk perbezaan antara kedudukan entiti induk dengan kumpulan Tabung Haji.

Menurutnya, perbezaan kaedah penilaian aset juga boleh menghasilkan angka berbeza dan tidak seharusnya terus dianggap sebagai bukti bahawa Tabung Haji berada dalam keadaan tidak solven.

Beliau sebelum ini menjelaskan terdapat perbezaan antara kaedah nilai aset boleh direalisasikan (RAV) dengan penilaian berdasarkan harga pasaran semasa.

Dalam pada itu, Irwan mencadangkan supaya satu audit komprehensif dan bebas terhadap Tabung Haji dijalankan bagi tempoh lebih panjang, bukan hanya tertumpu kepada 2014 hingga 2017.

“Buatlah satu audit komprehensif secara bebas terhadap Tabung Haji. Bukan tempoh 2014 sampai 2017, tetapi hingga 2025.

“Kalau boleh 20 tahun, barulah kita tahu cerita sebenar,” katanya.

Beliau berkata, audit dalam tempoh lebih panjang penting bagi memberikan gambaran menyeluruh mengenai pengurusan, pelaburan, aset dan kedudukan kewangan Tabung Haji sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya, penilaian terhadap institusi itu tidak wajar dibuat hanya berdasarkan satu tempoh atau satu angka tanpa melihat keseluruhan perjalanan pengurusannya.

Irwan turut menegaskan Tabung Haji perlu terus diperkukuh melalui pengurusan yang lebih baik demi memastikan institusi itu kekal kukuh untuk kepentingan pendeposit dan generasi akan datang.

“Saya tidak mahu Tabung Haji ini runtuh dan berharap kita semua dapat mempertahankannya. Kita perlu terus memperkukuh Tabung Haji demi anak cucu kita,” tegas beliau. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here