Mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah berucap pada Musyawarah Nasional 2.0 Realiti dan Persepsi jangan mempolitikkan Tabung Haji di Premiera Hotel, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 25 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Dakwaan 106 aset atau pegangan ekuiti Tabung Haji (TH) yang dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) merupakan aset ‘toksik’ dipersoalkan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Irwan yang pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah TH berkata, sebahagian aset berkenaan terdiri daripada pegangan dalam syarikat yang mempunyai kedudukan kukuh dalam pasaran dan tidak wajar dilabel sebagai aset ‘toksik’.

Antara syarikat yang disebut beliau termasuk YTL, Telekom Malaysia, Axiata, Gamuda, Maxis, IJM, UEM dan MRCB.

Menurutnya, kemerosotan nilai sebahagian aset berkenaan perlu dilihat dalam konteks kejatuhan pasaran saham pada 2020 dan 2021, bukannya terus dianggap sebagai bukti aset itu tidak berkualiti.

Jelasnya, apabila harga pasaran jatuh, nilai pegangan turut merosot dan menjual aset ketika itu hanya akan menyebabkan kerugian direalisasikan.

Beliau menggunakan perumpamaan membeli sebuah rumah pada harga RM100,000 sebelum nilainya jatuh kepada RM50,000, dengan penjualan ketika harga rendah hanya akan mengunci kerugian.

“Kalau harga jatuh, jangan jual. Tunggu harga naik,” tegasnya ketika membentangkan perkara itu pada program ‘Musyawarah Nasional: Realiti atau Persepsi: Jangan Politikkan Tabung Haji’ di Hotel Primera, Kuala Lumpur, hari ini.

Irwan turut mempersoalkan sama ada kesemua 106 ekuiti berkenaan dipindahkan berdasarkan nilai saksama, terutama apabila terdapat perbezaan antara nilai buku dengan nilai pasaran bagi sebahagian pegangan.

Dalam pembentangan itu, beliau turut menggesa audit forensik dijalankan terhadap UJSB bagi meneliti kedudukan kewangan syarikat berkenaan, termasuk aset bernilai sekitar RM9.7 bilion yang diterima daripada TH.

Menurutnya, penelitian itu perlu merangkumi urusan penggunaan sukuk yang diterbitkan berkaitan pemindahan aset berkenaan serta bagaimana hutang sukuk tersebut dilunaskan.

“Audit forensik mesti dijalankan ke atas UJSB termasuk kedudukan kewangan UJSB, kedudukan aset RM9.7 bilion yang diterima daripada LTH, urusan penggunaan sukuk yang diterbitkan serta bagaimana hutang sukuk berkenaan dilunaskan,” ujarnya.

Irwan berkata, audit berkenaan penting bagi memberikan gambaran jelas mengenai kedudukan aset dan kewangan UJSB selepas proses pemindahan, selain menjawab persoalan mengenai asas penilaian aset terbabit.

Pada masa sama, beliau menggesa audit forensik turut dijalankan terhadap 14 pelaburan yang didakwa menyebabkan kerugian RM13 bilion bagi mengenal pasti punca kerugian serta bagaimana keputusan berkaitan pelaburan itu dibuat.

Tegasnya, penelitian bagi tempoh lebih panjang penting supaya keseluruhan keputusan berkaitan aset, pelaburan, pembiayaan dan pengurusan TH dapat dinilai secara menyeluruh berdasarkan fakta dan rekod, bukan hanya berdasarkan satu tempoh tertentu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. TM, Gamuda, MRCB,YTL perghhh semua syarikat hebat2 ni..toksik kepala bana PH…yg toksik tu korang pergi melabur dlmE-Fishery Indonesia sampai rugi $200 juta tu…bengong..Menteri Agama PH kaki fitnah tegar..

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here