Reaksi peserta yang hadir pada Musyawarah Nasional 2.0 Realiti dan Persepsi jangan mempolitikkan Tabung Haji di Premiera Hotel, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 25 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR –  Lembaga Tabung Haji (TH) tidak mengabaikan nasihat Bank Negara Malaysia (BNM) dalam pengurusan institusi itu, termasuk ketika isu berkaitan kedudukan kewangan dan pengisytiharan hibah bagi 2017.

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ahli Lembaga Pengarah TH, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah mendedahkan,  beliau sendiri pernah memaklumkan kepada ketua pegawai eksekutif (CEO) intitusi itu mengenai surat atau teguran daripada BNM dan meminta supaya perkara tersebut dibincangkan terus dengan Gabenor BNM.

Menurutnya, persoalan sama ada TH mengambil kira nasihat BNM perlu dilihat berdasarkan tindakan pengurusan ketika itu, termasuk komunikasi antara lembaga pengarah, pengurusan tertinggi TH dan pihak pengawal selia.

Beliau berkata, beliau bukan sahaja mengetahui mengenai teguran berkenaan, malah mengambil langkah memaklumkannya kepada CEO TH supaya perbincangan dengan Gabenor BNM dapat dibuat.

Dalam pembentangan sama, Irwan turut menjelaskan pengisytiharan hibah TH bagi 2017 dibuat selepas syarat yang ditetapkan undang-undang dipenuhi.

“Seksyen 23(3) Akta Tabung Haji 1995 menetapkan tiada keuntungan boleh diagihkan atau diisytiharkan sebagai hibah melainkan rizab telah diwujudkan terlebih dahulu dan pada akhir tahun kewangan, aset kumpulan wang tidak kurang daripada jumlah liabilitinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan perkara itu pada program ‘Musyawarah Nasional: Realiti atau Persepsi: Jangan Politikkan Tabung Haji’ di Hotel Primera, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Irwan, syarat berkenaan penting kerana pengisytiharan hibah bukan keputusan yang boleh dibuat tanpa mengambil kira

Bahkan, penyata kewangan juga  perlu mendapat kenyataan bersih daripada Ketua Audit Negara sebelum pengisytiharan hibah dibuat.

“Untuk hibah 2017, kedua-dua syarat itu sudah dipenuhi,” jelasnya.

Irwan turut menyatakan, pengisytiharan hibah berkenaan disokong dengan audit pro forma oleh Ernst & Young (EY), selain proses pengauditan berkanun yang melibatkan Jabatan Audit Negara.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan dakwaan TH mengabaikan aspek audit dan pematuhan dalam tempoh berkenaan, dengan menegaskan keputusan berkaitan hibah dibuat berdasarkan kerangka undang-undang serta kedudukan kewangan yang telah diaudit.

Irwan berkata, kedudukan TH pada 2017 juga tidak wajar dinilai hanya berdasarkan satu angka atau kaedah penilaian tertentu kerana terdapat perbezaan pendekatan dalam menentukan nilai aset dan liabiliti.

Beliau menegaskan, penjelasan mengenai nasihat BNM, proses audit serta asas pengisytiharan hibah perlu dilihat secara keseluruhan bagi mengelakkan kekeliruan mengenai kedudukan sebenar TH pada ketika itu.

Katanya, perkara paling penting ialah memastikan setiap keputusan berkaitan wang pendeposit dibuat berdasarkan undang-undang, tatakelola yang baik serta pengawasan yang sewajarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here