KUALA LUMPUR – Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan seruan supaya isu Tabung Haji (TH) tidak dipolitikkan, sedangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan institusi itu ditubuhkan ketika UMNO masih berada dalam kerajaan.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, ketika RCI ditubuhkan dan proses siasatan dijalankan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu Naib Presiden UMNO merupakan perdana menteri, manakala ramai anggota Kabinet terdiri daripada pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Bukankah RCI Tabung Haji itu sendiri lahir ketika UMNO masih berada dalam kerajaan?
“Jadi, janganlah hari ini seolah-olah RCI itu datang daripada kerajaan lain untuk menyerang UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini bagi mengulas program bertajuk “Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji” yang dianjurkan oleh Musyawarah Nasional hari ini.
Mahfuz berkata, rakyat berhak mempersoalkan mengapa RCI ditubuhkan sekiranya dapatan berkenaan kini dianggap tidak penting atau sekadar persepsi.
Katanya, jika dapatan profesional mahu dihormati, dapatan RCI juga perlu diberi perhatian.
“Kalau hari ini kita mahu menghormati dapatan profesional, hormatilah juga dapatan RCI,” katanya.
Beliau menegaskan isu TH bukan soal persaingan antara Pakatan Harapan (PH), UMNO atau Pas kerana institusi itu merupakan amanah kepada pendeposit.
Mahfuz berkata, beliau bersetuju penjelasan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad mengenai perbezaan metodologi Jabatan Audit Negara (JAN) dan PricewaterhouseCoopers (PwC) didengar, namun perbezaan itu tidak seharusnya mengaburkan persoalan lebih besar.
Menurutnya, RCI turut mencatatkan persoalan serius berkaitan pengurusan, pelaburan dan tadbir urus TH, termasuk cadangan audit forensik terhadap beberapa pelaburan serta dakwaan transaksi mencurigakan dan penyembunyian maklumat.
“Inilah yang rakyat mahu tahu. Bukan sekadar kenapa angka JAN RM3.4 bilion, PwC RM1.4 bilion, tetapi apa yang sebenarnya berlaku kepada wang dan aset Tabung Haji sehingga persoalan sebesar ini muncul?” katanya.
Mahfuz berkata, RCI bukan milik mana-mana parti politik, sebaliknya perkara yang perlu diberi keutamaan ialah kepentingan pendeposit TH.
“Kalau RCI itu fitnah, bantahlah dapatan RCI. Jangan sekadar tukar tajuk daripada ‘apa yang berlaku’ kepada ‘jangan politikkan persepsi’.
“Tabung Haji bukan milik mana-mana parti. Tetapi amanah Tabung Haji juga bukan tempat untuk mana-mana parti memilih fakta yang sedap didengar sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette
















