BATU PAHAT – Seramai 29 alumni Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang menyertai konvoi motosikal ‘UTHM RE 2026: Merdeka Ride-MTUN Alumni Circuit’ berjaya menamatkan jelajah selama empat hari tiga malam merentasi Semenanjung Malaysia.
Jelajah berkenaan bukan sahaja memperkukuh hubungan antara universiti dengan alumni, malah turut memperluas jaringan strategik UTHM bersama institusi pendidikan tinggi.
Mengangkat tema ”Menjejak Alumni, Menghubungkan Legasi,” program yang berlangsung dari 24 hingga 27 Ogos 2026 itu bermula di kampus induk UTHM, Parit Raja, sebelum singgah ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Sekolah Menengah Sains Rembau, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Konvoi itu turut membawa simbolik 33 tahun perjalanan dan legasi UTHM selain menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan dan kebersamaan bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan ke-69 Peringkat UTHM.

Program tersebut dilaksanakan secara kolaboratif oleh Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni (PKKA), Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti (PSKU), Pusat Perumahan Pelajar (PRP) serta Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat (PPKK), dengan sokongan KPT dan universiti yang terlibat sebagai rakan strategik.
Antara detik penting sepanjang jelajah ialah persinggahan konvoi di KPT, Putrajaya, pada 24 Ogos yang menyaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Zambry Abdul Kadir menyantuni peserta konvoi yang diketuai Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali dalam satu sesi pertemuan ringkas.
Konvoi kemudiannya meneruskan perjalanan selepas sesi pelepasan yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim, bersama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, Ts. Dr. Noraisah Spahat; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq; serta barisan pengurusan tertinggi UTHM.
Menurut Pengarah PKKA, Ts. Dr. Norfaniza Mokhtar, UTHM RE 2026 merupakan kesinambungan inisiatif ‘Alumni Outreach UTHM’ yang diperkasakan menerusi pendekatan turun padang bagi mendekati alumni secara lebih langsung di lokasi mereka berada.
“UTHM RE 2026: Merdeka Ride-MTUN Alumni Circuit bukan sekadar sebuah perjalanan, sebaliknya merupakan usaha untuk membawa universiti lebih dekat kepada alumni, menghargai legasi mereka serta membuka ruang kepada alumni untuk terus menyumbang kepada pembangunan universiti dan generasi UTHM seterusnya,” katanya.
Sepanjang jelajah, sesi Alumni Meet & Greet turut diadakan di UPSI, UUM dan UMT dengan penyertaan alumni UTHM di setiap lokasi.
Sesi berkenaan menjadi platform untuk mengeratkan semula hubungan antara alumni dengan universiti, selain memutakhirkan maklumat alumni menerusi Sistem Maklumat Alumni (SISMA) UTHM.
Inisiatif tersebut turut membantu UTHM mengenal pasti alumni yang berpotensi untuk digerakkan sebagai mentor, pakar rujuk, penceramah, panel industri serta rakan strategik dalam pelbagai bidang.
Selain menghubungkan semula keluarga alumni, jelajah berkenaan turut memperkukuh jaringan strategik UTHM bersama institusi dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), di samping membuka ruang kerjasama dalam aspek pembangunan kerjaya, latihan industri, keusahawanan, pendidikan, penyelidikan dan jaringan industri.
Penglibatan universiti serta KPT sepanjang laluan jelajah memberikan dimensi yang lebih luas kepada program berkenaan.
Hubungan alumni tidak lagi dilihat sekadar sebagai jaringan sosial, sebaliknya sebagai aset strategik universiti yang berupaya menyumbang kepada pembangunan bakat, kepakaran dan ekosistem pendidikan tinggi negara.
Penganjuran program itu turut mendapat sokongan dan tajaan daripada Azurite Engineering PLT dan Ziegers Printing, yang kedua-duanya merupakan syarikat milik alumni UTHM.
Sokongan turut diterima daripada Glide Technology Sdn. Bhd., Pusat Wakaf dan Endowmen UTHM, Yayasan UTHM, Stesen Minyak Petron R&R Rawang Arah Utara, Stesen Minyak Petronas Muadzam Shah serta Desa Southern Food Products.
Berlangsung dalam suasana Bulan Kebangsaan, UTHM RE 2026 turut mencerminkan komitmen universiti untuk membina hubungan yang lebih erat dengan alumni dan rakan strategik, di samping meningkatkan keterlihatan UTHM sebagai institusi yang proaktif, kolaboratif dan menghargai sumbangan komuniti alumninya. – MalaysiaGazette
















