KUALA LUMPUR – Sekumpulan pelajar Malaysia di Wellington, New Zealand memilih untuk menghayati semangat kemerdekaan menerusi pendakian di Paekākāriki Escarpment Track pada Sabtu.
Program Merdeka Hike anjuran Wellington Malaysian Students’ Organisation (WMSO) menghimpunkan pelajar Malaysia bersama wakil Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dalam suasana santai namun penuh semangat kebersamaan menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-69.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Abu Bakar Mamat berkata sambutan Hari Kebangsaan di luar negara membawa makna tersendiri, khususnya dalam mengingatkan rakyat Malaysia mengenai nilai perpaduan dan kebersamaan meskipun berada jauh dari tanah air.
“Semangat merdeka boleh diraikan dalam pelbagai cara. Yang penting ialah bagaimana kita terus mengekalkan rasa kebersamaan, kecintaan kepada negara dan hubungan erat sesama rakyat Malaysia walaupun berada ribuan kilometer dari tanah air,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata program seumpama itu turut memberi ruang kepada Suruhanjaya Tinggi untuk mendekati generasi muda Malaysia serta mendengar pengalaman mereka sepanjang menuntut ilmu di New Zealand.
Sepanjang pendakian, peserta menikmati panorama Pulau Kāpiti dan Laut Tasman, manakala Pulau Selatan turut kelihatan jelas dari kejauhan, sekali gus menjadikan pengalaman menyusuri Paekākāriki Escarpment Track lebih istimewa.
Selain menjadi aktiviti riadah, pendakian itu turut membuka ruang kepada peserta untuk berinteraksi dan memperkukuh jaringan dalam komuniti Malaysia dalam suasana lebih santai.
Bagi pelajar Malaysia di Wellington, sambutan Merdeka di perantauan bukan sekadar memperingati tarikh bersejarah 31 Ogos, malah turut menjadi peluang untuk mengekalkan hubungan dengan identiti dan budaya Malaysia.
WMSO ialah organisasi kendalian pelajar yang aktif menganjurkan program bagi memperkukuh hubungan antara pelajar Malaysia serta mengetengahkan Malaysia dalam komuniti kampus di Wellington.
Program itu merupakan antara pengisian menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-69 pada 31 Ogos. – BERNAMA
















