KOTA TINGGI – Seorang bapa dan anaknya lemas ketika mandi di kawasan Aliyya Beachfront Campsite (ABC), Kampung Punggai, Pengerang dekat sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Pegawai Bomba Aldron Dey Judih@Judeh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 7.10 malam.
Susulan itu seramai enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan pacuan empat roda Hilux dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati dua mangsa lemas iaitu seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Kedua-dua mangsa telah dibawa ke darat oleh orang awam sebelum PKO tiba. PKO bertindak menjalankan rawatan CPR ke atas kedua-dua mangsa,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, mangsa pertama, Muhammad Zamri Mikhail Muhammad Nizam yang berusia lapan tahun dihantar ke Klinik Kesihatan Bayu Damai menaiki kenderaan keluarga.
Sementara bapanya, Mohammad Nizam Zainal yang berusia 33 tahun dihantar menggunakan Hilux BBP Punggai bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas di klinik tersebut.
Tambah beliau, operasi tamat pukul 8.10 malam.- MalaysiaGazette
















