Orang ramai mula memenuhi Dataran Putrajaya bagi menyaksikan perarakan Hari Kemerdekaan pagi ini.

PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan 2026 dengan tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” membuka tirai di Dataran Putrajaya pagi ini dengan pelbagai acara menarik bagi menyemarakkan semangat patriotik dan kecintaan rakyat terhadap negara.

Seawal jam 3.30 pagi, para peserta sudah mula memenuhi Dataran Putrajaya bagi membuat persiapan terakhir sebelum menyajikan persembahan menarik penuh warna-warni, manakala orang ramai pula mula memenuhi tempat duduk penonton sejak tengah malam lagi.

Sambutan itu yang dijangka menarik kehadiran kira-kira 80,000 pengunjung menyajikan pelbagai persembahan bagi menyemarakkan semangat patriotik, bukan sahaja dalam kalangan pengunjung di Dataran Putrajaya, malah mereka yang menyaksikannya secara langsung menerusi televisyen.

Sambutan itu turut diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah serta dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Jemaah Menteri.

Orang ramai mula memenuhi Dataran Putrajaya bagi menyaksikan perarakan Hari Kemerdekaan pagi ini.

Sambutan akan dimulakan dengan istiadat ketenteraan diikuti persembahan pentas dan perarakan warna-warni yang menggambarkan aspirasi Malaysia MADANI sebagai sebuah negara yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan menghormati kepelbagaian.

Acara perarakan dan perbarisan melibatkan seramai 10,819 peserta daripada 77 kontinjen, selain menampilkan 328 aset, 22 kenderaan elektrik (EV), 112 aset hidup, 22 pasukan pancaragam dan 11 kereta berhias.

Antara tumpuan ialah penampilan sulung pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) dan aset maritim Bot Kelas Ibrahim rekaan Yang di-Pertuan Agong, mengiring perbarisan kontinjen Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here